ISTERI Allahyarham Md Hamin, Martini (tengah, duduk di kerusi) bersama ahli keluarga membacakan doa buat Allahyarham suaminya di rumah mereka di Lorong Tun Fatimah, Kampung Batu 23 Sungai Nibong. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
ISTERI Allahyarham Md Hamin, Martini (tengah, duduk di kerusi) bersama ahli keluarga membacakan doa buat Allahyarham suaminya di rumah mereka di Lorong Tun Fatimah, Kampung Batu 23 Sungai Nibong. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

Sekinchan: Empat beradik yatim piatu sekali lagi hilang tempat bergantung apabila datuk mereka meninggal dunia hari ini di rumahnya di Lorong Tun Fatimah, Kampung Batu 23, Sungai Nibong di sini.

Md Hamim Taha, 72, sebelum itu dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) kerana demam panas pada 11 Mac lalu.

Menurut cucu saudaranya, Mohd Jamalullail Musa, 34, arwah dibawa ke hospital kira-kira 7 malam Khamis lalu. Bagaimanapun, pada hari yang sama kira-kira 10.30 malam, doktor memberi suntikan antibiotik dan membenarkan dia pulang.

"Malam tadi, ahli keluarga memberitahu arwah tidak mahu makan dan minum. Arwah menghembuskan nafas terakhir jam 10.30 pagi," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Mohd Jamalullail berkata, jenazah dibawa ke Masjid As Siraj, Kampung Batu 23, Sungai Nibong untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu 23 Sungai Nibong selepas solat Asar.

Sementara itu, isteri arwah, Martini Saleh, 67 berkata, dia reda akan pemergian suaminya dan berdoa rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman.

Harian Metro tahun lalu melaporkan Md Hamin dan Martini menjaga empat cucu Nur Ariana, 7; Nur Alia, 11; Nur Ifti Insyirah, 15 dan Nur Khalishah Mohd Nor Hilmi, 5, selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat kanser.

Malah, pasangan warga emas itu juga menjaga Nur Ifti Insyirah yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) masalah percakapan dan tidak boleh berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 6:35 PM