Gotong-royong diadakan Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar  di Lorong Tun Fatimah, Kampung Batu 23, Sungai Nibong. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Gotong-royong diadakan Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar di Lorong Tun Fatimah, Kampung Batu 23, Sungai Nibong. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: "Nasib pasangan warga emas uzur yang memelihara empat beradik yatim piatu itu amat meruntun jiwa. Oleh itu kami [turun padang' untuk melakukan gotong royong membantu mereka," ujar Pengerusi Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar, Ahmad Zhafri Md Noor.

Menurutnya, kisah empat beradik malang terbabit yang kehilangan ibu bapa akibat kanser baru-baru ini mendapat perhatian ramai pihak.

"Saya bersama ahli persatuan melakukan gotong-royong bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit 12, Sungai Nibong dan MPKK Batu 23, Sungai Nibong bagi membersihkan rumah didiami enam sekeluarga itu di Lorong Tun Fatimah, Kampung Batu 23, Sungai Nibong, di sini," katanya tadi.

Difahamkan tiga beradik malang itu, Nur Ariana, enam tahun, Nur Alia, 10, dan Nur Ifti Insyirah Mohd Nor Hilmi, 14, terpaksa menumpang kasih pada datuk dan nenek mereka, Md Hamin Taha, 71 dan Martini Saleh, 66, yang sudah uzur di rumah itu.

Manakala adik bongsu, Nur Khalishah, 4, dijaga keluarga arwah ibunya di Kuala Selangor.

Ibu bapa mereka, Mohd Nor Hilmi, 42, dan Noor Azlina Mat Isa, 38, dikesan menghidap kanser hati dan kanser payu dara tahap akhir sebelum masing-masing meninggal dunia pada 25 April dan 19 Ogos lalu.

Ahmad berkata, pihaknya beberapa kali mengunjungi keluarga itu dalam tempoh dua bulan.

"Kita mendapati keluarga ini memerlukan bantuan berterusan memandangkan anak-anak yatim piatu ini dijaga datuk dan nenek mereka yang sudah uzur.

"Program (gotong-royong) diadakan semalam, diharap mampu mewujudkan suasana lebih ceria kepada rumah dan persekitaran anak-anak ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga meletakkan batu kerikil di halaman rumah keluarga terbabit berikutan keadaan halaman yang berlopak dan dipenuhi air.

"Malah kami turut mengecat dinding rumah dan memotong dahan kayu yang berjuntai di sekeliling rumah itu.

"InsyaAllah, kami akan sentiasa mengikuti perkembangan keluarga ini dan menyalurkan pelbagai bantuan dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Md Hamin ketika ditemui bersyukur dengan gotong-royong yang dilakukan di rumahnya.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang prihatin dengan keadaan kami sekeluarga khususnya cucu saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 8:43 PM