Bot nelayan asing yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada jarak 40 batu nautika di timur laut Pulau Tenggol ketika Ops Kuda Laut. FOTO IHSAN APMM
Bot nelayan asing yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada jarak 40 batu nautika di timur laut Pulau Tenggol ketika Ops Kuda Laut. FOTO IHSAN APMM
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Dua bot asing yang bertindak menyamar sebagai bot tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran meragukan gagal selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Terengganu kelmarin.

Bot nelayan asing dipercayai dari Vietnam itu ditahan pada jarak 40 batu nautika di timur laut Pulau Tenggol ketika Ops Kuda Laut pada 3 petang membabitkan rampasan bernilai RM3 juta.

Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, anggota yang melakukan operasi mengesan dua bot yang mencurigakan sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

"Ketika dihampiri, bot berkenaan cuba melarikan diri namun tindakan pantas anggota berjaya memintas bot yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan yang mencurigakan.

"Ketika pemeriksaan, dua tekong bot berkenaan mengemukakan dokumen yang meragukan dan kita turut menemui lapan nelayan bersembunyi di ruang jentera utama.

"Pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua bot berkenaan mendapati terdapat 23 nelayan asing dipercayai warga Vietnam dan kesemuanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta permit pekerja asing yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya merampas kedua bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan termasuk diesel membabitkan rampasan bernilai RM3 juta.

Katanya, semua nelayan berusia antara 14 hingga 59 tahun dibawa ke pejabat APMM Terengganu untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana tidak memiliki sebarang lesen dan permit kerja untuk melakukan pengoperasian penangkapan hasil laut di perairan negara dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kaedah menggunakan nombor pendaftaran palsu pada badan bot nelayan Vietnam untuk mengaburi pihak berkuasa tidak berkesan kerana struktur fizikal bot yang berbeza membolehkan penguat kuasa mengenal pasti fizikal bot yang mencurigakan seterusnya mematahkan taktik jahat nelayan asing ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 6:35 PM