BOT nelayan Vietnam yang menggunakan warna dan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan ditahan ketika menceroboh perairan Terengganu. FOTO ihsan APMM
BOT nelayan Vietnam yang menggunakan warna dan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan ditahan ketika menceroboh perairan Terengganu. FOTO ihsan APMM
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Nelayan Vietnam dikesan menyamar sebagai nelayan tempatan dengan menggunakan warna dan nombor pendaftaran bot tempatan bagi mengaburi mata pihak berkuasa ketika melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negeri ini.

Namun, helah nelayan terbabit dapat dihidu pihak berkuasa apabila seramai 16 nelayan negara berkenaan yang menceroboh perairan negeri ini ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kelmarin.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, 16 nelayan terbabit ditahan selepas pihaknya mengesan pencerobohan dua bot digunakan nelayan terbabit.

Katanya, bot terbabit ditahan kapal peronda, Kapal Maritim (KM) Langkawi di dua lokasi berasingan iaitu di kedudukan 93 dan 118 batu nautika dari timur laut Kuala Terengganu jam 4 petang.

"Pemeriksaan mendapati nelayan terbabit cuba menyamar nelayan tempatan kerana warna dan nombor pendaftaran menyamai bot nelayan tempatan.

"Walaupun mereka cuba menyamar, anggota berjaya mengesan dan pemeriksaan mendapati nelayan terbabit tidak mempunyai dokumen sah untuk menangkap ikan di perairan negara," katanya ketika menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, semua 16 nelayan termasuk seorang tekong berusia antara 18 hingga 62 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan dan permit kerja sah.

Sehubungan itu, katanya, dua bot berkenaan dirampas termasuk peralatan menangkap ikan, hasil laut dan diesel dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM3 juta.

Katanya, semua nelayan terbabit diarah menjalani ujian Covid-19 sebelum ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 5:04 PM