DATUK Seri Aminuddin Harun. FOTO Mohd Amin Jalil
DATUK Seri Aminuddin Harun. FOTO Mohd Amin Jalil
BERNAMA

Seremban: Projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Linggi, Melaka perlu mematuhi Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), tegas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata langkah berkenaan penting untuk memastikan projek bernilai RM15 bilion itu tidak mendatangkan masalah kepada Negeri Sembilan pada masa akan datang.

"Kalau ia beri kesan buruk kepada kerajaan negeri maka kita akan bantah selain tidak berkompromi tentang perkara tersebut. Mereka harus lulus EIA barulah kita bersetuju.

"Secara dasarnya mereka hendak buat pelabuhan atau apa-apa pun kita benarkan, sebab itu tanah mereka (Melaka) tetapi kita tidak mahu ada masalah di kemudian hari seperti impak kepada nelayan serta hakisan tanah di kawasan Negeri Sembilan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di Wisma Negeri hari ini.

Berdasarkan dapatan awal laporan EIA mengenai kawasan rayau penyu dan buaya di kuala Sungai Linggi yang terjejas, Aminuddin meminta pihak terbabit untuk memikirkan bagaimana mengatasi masalah berkenaan.

"Ia perlu memastikan kawasan yang mempunyai banyak penyu dan buaya di situ terpelihara. Selain itu, nelayan berdekatan dengan projek juga harus diberi perhatian walaupun berada di bawah Negeri Sembilan.

"Pampasan yang diberikan kepada nelayan di Negeri Sembilan harus sama seperti diberikan kepada nelayan di Melaka. Bagaimanapun, saya yakin kerajaan Melaka akan lihat faktor tersebut dan mereka (Melaka) juga mengambil kira laporan EIA," katanya.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempamerkan Laporan EIA di laman Facebook rasmi JAS bermula 24 Februari hingga 25 Mac ini, bagi memberi peluang kepada orang ramai mengemukakan maklum balas berdasarkan penelitian berkaitan Laporan EIA itu.

Kerajaan negeri Melaka memperuntukkan RM5.4 juta nilai pampasan kepada 185 nelayan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi bagi pembinaan KLIP.

Pihak KLIP dalam proses membangunkan kemudahan dan infrastruktur projek berkenaan manakala Syarikat Linggi Base Sdn Bhd (LBSB) yang bertindak sebagai pemaju akan menambak laut seluas 250.9 hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 5:53 PM