SULAIMAN pada sidang media di pejabatnya, Seri Negeri. FOTO BERNAMA
SULAIMAN pada sidang media di pejabatnya, Seri Negeri. FOTO BERNAMA
Amir Mamat

Ayer Keroh: Projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Alor Gajah di sini bernilai RM15 bilion mungkin dibatalkan jika tidak melepasi pelbagai penilaian termasuk pematuhan Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (Jas).

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya menilai laporan daripada beberapa pihak termasuk nelayan dan jabatan berkaitan.

"Semua pembangunan hendak dibuat termasuk kerja penambakan laut, mesti melepasi EIA, bukan KLIP sahaja, kalau kawasan Melaka Waterfront Economic Zone (M-Wez) pun, kalau tidak melepasi EIA kita tidak akan meneruskan dan ia tidak boleh dilaksanakan," katanya pada sidang media di pejabatnya, Seri Negeri di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan membantah pembinaan KLIP di Kuala Linggi, Melaka sekiranya projek itu tidak mematuhi Kajian EIA.

Projek dijadual dimulakan pada suku pertama tahun ini dijangka mengambil tempoh antara lima hingga lapan tahun untuk disiapkan di atas tanah ditambak atas laut berkeluasan 248 hektar.

JAS sudah mengeluarkan laporan EIA dan dipamerkan sejak 24 Februari lalu hingga 25 Mac ini bagi memberi peluang kepada orang awam mengemukakan maklum balas berdasarkan penelitian berkaitan Laporan EIA terbabit dalam tempoh pameran itu.

Mengulas lanjut, Sulaiman turut bersetuju dengan kenyataan Aminuddin itu bagi mengelakkan kesan buruk terhadap kawasan yang berada di persempadanan.

Katanya, meskipun projek mega itu mampu membuka lebih 115,000 peluang pekerjaan, namun dalam pelaksanaan apa jua bentuk pembangunan perlu melepasi penilaian Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu.

"Kita tidak boleh dilaksanakan sesuatu projek sesuka hati tanpa persetujuan semua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 5:24 PM