AB Rauf bersama Tun Mohd Khalil bergambar bersama nelayan selepas menyampaikan bayaran pampasan kepada nelayan fasa satu bagi projek KLIP di Kuala Linggi, hari ini.  FOTO Amir Mamat
AB Rauf bersama Tun Mohd Khalil bergambar bersama nelayan selepas menyampaikan bayaran pampasan kepada nelayan fasa satu bagi projek KLIP di Kuala Linggi, hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Masjid Tanah: Isu pampasan kepada nelayan berkaitan cadangan pembangunan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) sejak tujuh tahun lalu, selesai hari ini.

Ia susulan pembayaran pampasan berkenaan berjumlah RM5.4 juta oleh KLIP selaku pemaju projek berkenaan kepada 463 nelayan Kuala Linggi dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menerusi pembayaran itu, setiap nelayan atau pemilik sampan di Melaka akan menerima RM3,888.20, manakala awak-awak dan nelayan sungai pula mendapat RM1,944.10.

Nelayan atau pemilik sampan dari Port Dickson pula menerima RM1,944.10 manakala awak-awak (RM972.05).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pembayaran pampasan dibuat dalam tiga fasa bermula hari ini.

"Saya anggap isu ini (pembayaran pampasan yang tertunggak) sudah selesai. Menerusi pembayaran ini akan memberi kelegaan kepada nelayan yang menunggu sekian lama dan KLIP juga dimaklumkan akan memulakan projek dalam masa terdekat.

"Insya-Allah kita lihat perkembangan perkhidmatan pelabuhan yang akan berada di sebelah Utara Melaka ini akan menyumbangkan kepada sistem ekonomi khususnya di kawasan berkenaan (apabila siap kelak)," katanya pada majlis penyerahan pembayaran pampasan itu di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi KLIP, Tun Mohd Khalil Yaakob serta Pengarah Urusan KLIP, Tan Sri Noor Mustafa Kamal Yahya.

Projek pembangunan KLIP yang membabitkan kos RM15 bilion di kawasan seluas 248 hektar yang sepatutnya dimulakan pada suku tahun pertama 2021, namun tertangguh susulan proses daripada beberapa pihak berkuasa termasuk berkaitan alam sekitar yang agak ketat.

Projek itu turut menimbulkan kebimbangan ratusan nelayan di sekitar kawasan itu yang mendakwa menjejaskan operasi penangkapan ikan di Kuala Linggi serta sebahagian lokasi di Port Dickson.

Sementara itu, Noor Mustafa Kamal berkata, pembayaran berkenaan membuktikan KLIP sentiasa berpegang kepada janji demi menjaga kebajikan nelayan yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 11:16 PM