Dr Ahmad Ismail berdiri di tebing Sungai Timun yang mungkin akan menerima kesan sekiranya projek KLIP di Kuala Linggi, Melaka dilaksanakan. FOTO MOHD AMIN JALIL
Dr Ahmad Ismail berdiri di tebing Sungai Timun yang mungkin akan menerima kesan sekiranya projek KLIP di Kuala Linggi, Melaka dilaksanakan. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Rembau: Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) berharap pihak terbabit dengan projek pembinaan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP), dekat Port Dickson, dapat mengambil kira kepentingan pelbagai pihak sebelum ia dilaksanakan.

Ini kerana, projek bernilai RM15 bilion di Kuala Linggi itu dipercayai menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak.

Presiden MNS, Dr Ahmad Ismail berkata, tindakan itu dilihat penting sebagai langkah memastikan projek berkenaan tidak mengganggu kawasan semula jadi dan habitat haiwan yang terdapat di Sungai Linggi di kawasan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pihaknya melihat isu pembinaan KLIP daripada pelbagai sudut terutama impak kepada habitat semula jadi di kawasan berkenaan dan lokasi pelancongan di sekitar Sungai Linggi.

"Kami sangat prihatin dengan apa sahaja berkaitan alam semula jadi dan Sungai Linggi mempunyai kepelbagaian ekosistem serta habitat termasuk buaya, udang galah, ikan, kerang, siput dan kelip-kelip yang dapat dilihat di sini.

"Terdapat banyak chalet yang mempunyai pemandangan pantai cantik serta menarik dan projek dirancang dilaksanakan tidak lama lagi itu dilihat memberi kesan negatif kepada kawasan persekitaran.

"Kami saran agar pihak berkenaan memilih lokasi lain yang lebih sesuai dan tidak mengganggu alam sekitar selain menjejaskan pendapatan nelayan kecil kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi penerangan kepada nelayan Sungai Linggi berkaitan projek KLIP di Jeti Pangkalan Nelayan Sungai Timun, dekat sini, petang semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan, Abu Bakar Dawam.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan kerajaan negeri akan membantah pembinaan KLIP sekiranya ia didapati tidak mematuhi laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Aminuddin berkata, pihaknya tidak mahu projek berkenaan memberi kesan kepada Negeri Sembilan khususnya berkaitan isu hakisan dan masalah kepada nelayan.

Berikutan itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam kenyataan susulan, memaklumkan kerajaan Melaka sedia untuk membatalkan projek terbabit sekiranya tidak mematuhi syarat pembangunan khususnya EIA.

Difahamkan, projek pembinaan KLIP akan dimulakan pada suku pertama tahun ini dan akan mengambil masa lima hingga lapan tahun bagi menambak laut seluas kira-kira 248 hektar.

Projek itu akan dimajukan dengan pelbagai kemudahan berkaitan pelabuhan termasuk memberikan perkhidmatan kepada kapal antarabangsa selain menempatkan tangki simpanan cecair, limbungan pembaikan kapal, limbungan fabrikasi komponen minyak dan gas serta dermaga untuk fasiliti himpitan kapal.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, walaupun projek itu dilaksanakan di Melaka, ia bersempadan dengan Negeri Sembilan khususnya di Port Dickson.

Menurutnya, lokasinya agak berdekatan yang boleh memberi kesan kepada pendapatan nelayan di Sungai Linggi dan Port Dickson.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 3:48 PM