GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia (KSM) merekodkan seramai 589,220 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 30,800 majikan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 9,381 orang disahkan positif Covid-19 manakala 579,839 lagi adalah negatif.

"Sehingga kini, sebanyak 1,513 buah klinik terbabit dengan program saringan ini. Semalam, seramai 3,629 warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 56 orang didapati positif.

"Seperti yang sudah diumumkan, ujian saringan Covid-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai kawalan sempadan negara katanya, Op Benteng semalam berjaya menangkap 33 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas empat kenderaan darat.

Dalam operasi itu, katanya, pihak berkuasa turut mengesan 102 bot atau kapal di perairan negara dan sembilan kenderaan darat melalui 12 aktiviti penglihatan.

"Selain itu, empat Pati turut diusir menerusi dua aktiviti pengusiran. Op Benteng membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 264 sekatan jalan raya (SJR) semalam.

"Op Penawar (ATM, PDRM dan Rela) melaksankan 218 SJR; Op Benteng PDRM (46 SJR) dan Op Benteng Aksem (sembilan SJR)," katanya.

Berkenaan barangan keperluan asas, katanya, pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.

Semalam, katanya, KPDNHEP membuat 747 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri peruncit (573), pemborong (143) dan pengilang (31).

"KPDNHEP juga melakukan 2,153 pemeriksaan khas pematuhan SOP. Daripada jumlah itu, 2,142 premis mematuhi SOP, empat diberi nasihat manakala tujuh lagi dikompaun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 5:57 PM