Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon (kanan), yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN, hari ini.Turut menyerahkan SD itu Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien (kiri).Mereka ialah Ahli Parlimen pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon (kanan), yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN, hari ini.Turut menyerahkan SD itu Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien (kiri).Mereka ialah Ahli Parlimen pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin agar dapat menyelesaikan isu rakyat terutama di kawasannya yang tertunggak dan tidak dapat diselesaikan sejak sekian lama.

Steven dalam kenyataan dimuat naik di akaun Facebook rasminya semalam berkata, Perdana Menteri faham dan setuju dengan keperluannya untuk ada akses berjumpa dengan semua menteri dan ketua agensi kerajaan bagi membangkitkan dan menyelesaikan isu rakyat.

"Hari ini saya mengisytiharkan sokongan saya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh sebab beliau faham dan setuju dengan keperluan saya.

"Saya mahu ada akses kepada dan berjumpa dengan semua menteri dan ketua agensi kerajaan bagi membangkitkan dan cuba menyelesaikan isu-isu rakyat yang selama ini disampaikan kepada saya melalui pelbagai saluran.

"Ia membabitkan isu banjir kawasan, pembuangan sampah haram, Ah Long yang bertambah teruk, 'scam', projek perumahan rakyat dan rumah pangsa kos rendah, isu perlesenan di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan, isu pencemaran sungai, masalah pengusaha kecil dan sederhana selain isu pekerja asing dan tempatan yang semuanya harus ditangani dengan secepat mungkin," katanya.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan mengumumkan ada menerima Akuan Bersumpah daripada dua Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Akuan Bersumpah oleh Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien dan Steven itu ditandatangani dan diserahkan kepada Perdana Menteri selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Steven berkata, beliau berharap dengan pengalamannya sebagai akauntan, juruaudit luar dan dalaman, agen cukai dan perunding perniagaan selama 40 tahun, beliau dapat bekerjasama dengan semua menteri dan agensi kerajaan untuk mencari penyelesaian isu rakyat di kawasannya.

"Saya sudi membantu mana-mana pihak kerajaan khususnya di dalam bidang kepakaran saya.

"Sekiranya dipanggil, saya sudi bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mencari atau merancang atau merangka sistem percukaian supaya hasil kutipan cukai akan meningkat dan pada masa yang sama tidak membebankan komuniti perniagaan dan rakyat.

"Saya juga berharap menjadi orang tengah atau jambatan di antara kerajaan dan komuniti perniagaan supaya isu-isu rakyat dapat perhatian kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 6:47 PM