BOB Mah Sing dan rakan direman selama empat hari.
BOB Mah Sing dan rakan direman selama empat hari.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Dua lelaki yang bertindak nekad merempuh dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierramas, Sungai Buloh, di sini semalam direman selama empat hari.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Petaling Jaya Zhafran Rahim Hamzah bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Terdahulu, suspek yang dilihat memakai baju lokap berwarna ungu dan berseluar ungu tiba di hadapan pintu masuk mahkamah pada jam 11 pagi dikawal ketat anggota polis.

Suspek kemudian dibawa ke bilik reman di tingkat satu kompleks bangunan mahkamah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, permohonan reman itu dilakukan bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut.

"Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 307, 427 dan 188 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Sebelum ini, tular satu video berdurasi satu minit 45 saat menunjukkan anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan itu selepas suspek enggan memberhentikan kereta.

Kenderaan bernombor pendaftaran MAS 175 itu dilihat melanggar bahagian belakang lori dan sisi kereta Perodua Myvi untuk mencelah di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Polis kemudian berjaya menahan salah seorang suspek yang berusia 35 tahun di sebuah kawasan perumahan di Desa Aman hasil maklumat orang awam dan berjaya menahan seorang lagi lelaki dikenali sebagai Bob Mah Sing di sebuah rumah semalam yang berjaya melarikan diri ketika kejadian.

Berita berkaitan

Bob Mah Sing dah ditahan

Drama ganas dua penjenayah di Sungai Buloh

Suspek lolos pemeriksaan polis berjaya diberkas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 3:48 PM