Nor Fazlina Abdul Rahim


Jeli: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan penyalahgunaan dadah di kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah serius.

Beliau berkata, mereka yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah serta jenayah lain tidak akan dilindungi dan tidak terlepas daripada hukuman.

Katanya, walaupun pelbagai amaran dan nasihat sudah diberikan kepada pasukan untuk menyedarkan mereka, namun sehingga kini ramai yang masih degil.

"Baru-baru ini, enam individu termasuk seorang pegawai polis ditahan sedang berhibur sambil mengambil dadah. Saya ingatkan, tiada maaf lagi untuk kesalahan sebegini kerana perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab.

"Saya sudah arahkan supaya siasatan lanjut dilakukan supaya mereka tidak terlepas dan akan pastikan mereka dihukum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, yang baharu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, beliau tidak boleh memberi jaminan seramai 129,000 kakitangan PDRM itu mampu mengikut peraturan.

"Saya tidak malu untuk mendedahkan salah laku polis kepada masyarakat kerana tidak ada apa yang perlu diselindungkan.

"Rakyat patut tahu jika mereka (polis) melakukan kesalahan. Saya sesekali tidak akan melindungi mereka yang melakukan kesalahan," katanya.

TAN Sri Abdul Hamid Bador (kanan)  bersama Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) mendengar penerangan oleh Datuk Seri Mohamad Sulaiman (kiri) ketika hadir melawat Tapak Projek Pembanguanan IPD Jeli. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TAN Sri Abdul Hamid Bador (kanan) bersama Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) mendengar penerangan oleh Datuk Seri Mohamad Sulaiman (kiri) ketika hadir melawat Tapak Projek Pembanguanan IPD Jeli. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Media sebelum ini melaporkan, seorang pegawai dan lima anggota polis antara 14 individu ditahan dalam serbuan parti liar di sebuah pangsapuri di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata serbuan pada 1.30 pagi dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 2:15 PM