Nor Fazlina Abdul Rahim


Jeli: Kerajaan mengenal pasti 92 projek sakit dan bermasalah termasuk membabitkan projek mega yang kebanyakan berpunca daripada pemilihan kontraktor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, projek sakit adalah projek yang mengalami kelewatan melebihi dua bulan atau 20 peratus berbanding jadual pelaksanaan.

Katanya, antara punca utama dikenal pasti menyumbang kepada kelewatan penyiapan projek adalah masalah kontraktor dan perunding serta isu pelaksanaan projek seperti aspek koordinasi antara klien, agensi pelaksana serta pihak ketiga.

"Projek-projek ini sedang dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM. Sebanyak 22 projek sakit berkenaan adalah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Sabah pula merekodkan projek sakit paling tinggi iaitu 16 projek," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Membina Jalan dari Chedok ke Nibong, di sini hari ini.

Mustapa berkata, tindakan sewajarnya sedang diambil untuk memantapkan kriteria pemilihan dan pelantikan kontraktor serta perunding selain usaha meningkatkan kemahiran penjawat awam dalam menguruskan projek pembangunan negara.

MUSTAPA berucap pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Membina Jalan dari Chedok ke Nibong di Jeli. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
MUSTAPA berucap pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Membina Jalan dari Chedok ke Nibong di Jeli. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

"Kerajaan memandang serius isu penyelarasan dalam pelaksanaan projek dan ingin menekankan bahawa semua pihak yang berkepentingan harus bergerak seiring secara terancang dan bersepadu.

"Ia bagi memastikan matlamat pelaksanaan projek pembangunan negara dapat dicapai dengan jayanya.

"Pada masa sama, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan projek pembangunan kerajaan dapat disiapkan mengikut jadual, supaya rakyat mendapat manfaat mengikut tempoh masa yang ditetapkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, ekonomi negara mencatatkan peningkatan sebanyak 3.1 peratus, selaras dengan sasaran kerajaan antara tiga dan empat peratus sepanjang tahun lalu.

Namun katanya, pencapaian pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berada pada paras terendah sasaran rasmi dan nilai KDNK masih belum mencapai paras sebelum pandemik Covid-19 dengan jurang 2.7 peratus atau RM38.2 bilion pada harga malar berbanding 2019.

"Ini disebabkan kejatuhan pelaburan terutama pelaburan awam yang menguncup sebanyak -11.4 peratus.

"Kejatuhan itu sejajar dengan penguncupan sektor pembinaan yang merosot sebanyak -12.2

peratus, terutama dalam aktiviti pembinaan kejuruteraan awam dan bangunan kediaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 12:26 PM