Abang Johari Tun Openg, menerima suntikan vaksinasi Covid-19 di Klinik Kesihatan Petra Jaya. FOTO NADIM BOKHA
Abang Johari Tun Openg, menerima suntikan vaksinasi Covid-19 di Klinik Kesihatan Petra Jaya. FOTO NADIM BOKHA
Oleh Mohd Roji Kawi


Petra Jaya: "Semua okay, tiada rasa apa-apa. Janganlah takut ambil vaksin," kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg selepas menerima suntikan vaksin Covid-19, hari ini.

Beliau yang tergesa-gesa memasuki lif di Klinik Kesihatan Petra Jaya untuk balik ke pejabatnya kemudian sempat memberikan isyarat jari tanda bagus kepada wartawan.

Abang Johari tiba di Klinik Kesihatan Petra Jaya tepat pada jam 3 petang untuk menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech,itu.

Turut menerima suntikan itu, Timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Chin Zin Hing.

Sementara itu, Dr Chin berkata, sebanyak 41 daripada 55 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri mula memberikan vaksin hari ini.

Baki 14 lagi PPV di Miri, Bintulu dan Limbang hanya akan memberikan suntikan vaksin itu minggu depan.

"Hari ini di Klinik Kesihatan Petra Jaya ini sahaja, seramai 48 orang menerima suntikan dan esok pula seramai 1,160 dijangka menerimanya pada program yang akan diadakan di Stadium Perpaduan di Petra Jaya.

"Sehingga 1 Mac ini, kami mensasarkan kira-kira 5,000 petugas barisan hadapan menerima suntikan vaksin itu," katanya sambil memaklumkan keseluruhan petugas barisan hadapan termasuk pengamal media di Sarawak berjumlah 97,000 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 5:33 PM