LEMBAGA Lebuhraya Malaysia. FOTO arkib NSTP
LEMBAGA Lebuhraya Malaysia. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) meneruskan peranannya menguruskan infrastruktur lebuh raya dengan baik sepanjang menghadapi pandemik Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah LLM, Datuk Mohd Shuhaimi Hassan berkata, infrastruktur lebuh raya penting kepada kerajaan dan negara yang turut menjadi laluan utama pengangkutan vaksin Covid-19 sejak 21 Februari lalu.

"Lebuh raya berperanan sebagai laluan kritikal untuk urusan penghantaran barangan perubatan, pergerakan kumpulan perubatan dan perkhidmatan penting serta laluan utama dan terpantas bagi mereka yang masih perlu melakukan pergerakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Oleh itu, kami memahami cabaran dan pengorbanan semua petugas barisan hadapan seperti kakitangan perubatan dan keselamatan dalam menghadapi pandemik ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, warga kerja industri lebuh raya seperti pasukan ronda, petugas plaza tol dan penyelenggaraan lebuh raya adalah kakitangan barisan hadapan dalam sektor lebuh raya yang sentiasa berusaha menjaga pelanggan dengan baik.

Sementara itu, beliau berkata, Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dengan kerjasama LLM menyampaikan sumbangan makanan dan minuman kepada kira-kira 1,500 petugas barisan hadapan yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di MAEPS Serdang.

Sumbangan itu disampaikan bersama oleh Pengerusi LLM, Datuk Abdul Rasyid Asari dan Yang Dipertua PSKLM, Datuk Azman Ismail kepada Pengarah PKRC, Dr Shahabuddin Ibrahim.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 6:24 PM