Kenderaan di Lebuhraya KL-Karak meningkat.
Kenderaan di Lebuhraya KL-Karak meningkat.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pemantauan Pusat Pengurusan Trafik Lebuh Raya Malaysia (LLM) sehingga malam ini mendapati peningkatan jumlah trafik di lebuhraya utama khususnya di bahagian timur.

Namun, keadaan aliran trafik masih lagi lancar dan terkawal di laluan utama lebuh raya.

Berdasarkan kepada informasi yang diperolehi daripada Pusat Pengurusan Trafik LLM, tinjauan LLM mendapati pertambahan peningkatan jumlah trafik yang ketara adalah di Lebuhraya KL-Karak.

"Ia dapat dilihat di Plaza Tol Gombak menghala ke Pusat Bandar yang mana keadaan trafik mulai perlahan sepanjang 9 kilometer menuju ke Plaza Tol Gombak.

"Pertambahan trafik ini adalah berikutan orang ramai bergerak dari Genting Highland dan Pantai Timur menuju pulang ke destinasi masing-masing di ibu kota," katanya menerusi kenyataan tadi.

Katanya, berdasarkan trend semasa aliran trafik itu, pihak LLM menjangkakan peningkatan aliran trafik berterusan sehingga lewat malam.

Oleh itu, menurut LLM, pengguna adalah dinasihatkan untuk pandu dengan cermat dan awasi jarak kenderaan.

"Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai situasi trafik di lebuh raya, pengguna boleh menghubungi hotline LLM di talian 1 800 – 88 – 7752 atau mengikuti perkembangan trafik dari semasa ke semasa di twitter kami di LLM –INFO-TRAFIK dan juga Facebook LLM," katanya.

Harian Metro difahamkan, aliran trafik yang meningkat dipercayai susulan kepulangan warga kota selepas menziarahi keluarga di kampung halaman dengan menyambung cuti hujung minggu hingga cuti umum hari ini sempena sambutan Maulidur Rasul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 8:52 PM