Lebuhraya PLUS.
Lebuhraya PLUS.
Oleh Suliati Asri


Kuala Lumpur: Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) memahami cabaran dihadapi Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dalam memastikan infrastruktur negara terus beroperasi pada tahap terbaik dan melaungkan komitmennya mendokong aspirasi KKR demi kesejahteraan rakyat di negara ini.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19 memberi kesan kepada syarikat konsesi lebuh raya dengan pengurangan jumlah trafik dan turut dirasai rakan niaga di R&R serta kontraktor.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat PSKLM dan syarikat konsesi lebuh raya memberi perkhidmatan terbaik setiap masa.

Yang DiPertua PSKLM Datuk Azman Ismail berkata, pelbagai inisiatif diambil bagi menjaga pelanggan sepanjang perjalanan mereka dan ia bertepatan dengan semangat #KitaJagaKita untuk sama-sama berusaha mengawal penularan pandemik Covid-19.

Menurut Azman, sebagai Rakan Pembangunan Negara, PSKLM dan syarikat konsesi akan terus mengharungi cabaran dan rintangan terbaharu berikutan pandemik ini.

"Pendekatan norma baharu memerlukan kami terus berkolaborasi dan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk terus menjaga pelanggan dengan baik dan pada masa sama memainkan peranan membantu Kementerian Kerja Raya memacu pembangunan negara.

"Aspek keselamatan, keselesaan, impak sosial, tenaga kerja dan teknologi terus diberi penekanan untuk melonjakkan industri lebuh raya," katanya.

Sebagai persatuan mewakili 26 syarikat konsesi lebuh raya di Malaysia, PSKLM komited melaksanakan tanggungjawabnya bertepatan dengan komitmen Kementerian Kerja Raya dan pihak kerajaan untuk terus memberi perkhidmatan yang berkualiti, pantas dan berkesan.

Ini termasuk menyelenggara infrastruktur lebuh raya dengan cekap dan berkesan, menangani isu kawasan blackspot, mempertingkat reka bentuk, mutu jalan dan sebagainya.

Lebuh raya penghubung utama rakyat

Azman juga berkata, sejak kewujudan lebuh raya lebih 30 tahun lalu di negara ini, industri itu menjadi penghubung utama rakyat bagi melakukan perjalanan sama ada untuk sektor pengangkutan, pelancongan, perubatan, perindustrian dan menghubungkan bandar besar.

Menurutnya, lebuh raya berperanan sebagai pemangkin pembangunan dan ekonomi di kawasan sekitar jajarannya.

"Sejak lebuh raya dibina dan beroperasi, negara menyaksikan pembangunan sepanjang koridor lebuh raya seperti kawasan perbandaran baru, kawasan perindustrian baru termasuklah penempatan baru.

"Justeru, sebagai syarikat konsesi lebuh raya kami komited menjaga aset lebuh raya seperti turapan jalan, cerun, jambatan, terowong, kawasan R&R, hentian sebelah dan sebagainya pada tahap terbaik melalui rejim penyelenggaraan menyeluruh.

"Malah, bajet diperuntukkan untuk penyelenggaraan aset lebuh raya melebihi 70 peratus daripada keseluruhan bajet perbelanjaan mengurus lebuh raya," katanya.

Daripada aspek potholes atau jalan berlubang pula, Azman berkata, setiap lebuh raya sentiasa memantau supaya kejadian berkenaan diberi rawatan berpatutan dalam masa 24 jam.

"Kami sangat serius menjadikan lebuh raya bebas potholes dan menjadikan perjalanan di lebuh raya selamat untuk semua," katanya.

Pendekatan 3E tingkatkan tahap keselamatan

Bagi meningkatkan tahap keselamatan di lebuhraya kendalian PSKLM, syarikat konsesi ini menggunakan pendekatan 3E iaitu Engineering (Kejuruteraan), Enforcement (Penguatkuasaan) dan Education (Pendidikan).

Menerusi E pertama, Engineering, kata Azman ia memfokuskan kepada penggunaan aplikasi teknologi terbaru bagi meningkatkan keselamatan seperti turapan jalan, penghadang jalan, peralatan keselamatan jalan raya dan mengaplikasi teknologi video analitik.

"E kedua pula iaitu Enforcement merujuk kepada kolaborasi bersama pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis DiRaja Malaysia dan lain-lain agensi untuk meningkatkan pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang keselamatan jalan raya.

"Apa yang membanggakan, saban tahun konsesi lebuh raya mengadakan sekurang-kurangnya 300 operasi bersepadu bersama agensi ini untuk memastikan hasrat tercapai," katanya.

Sementara itu, E ketiga, Education terdiri daripada penganjuran program meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya termasuk dengan pihak NGO, Miros dan sebagainya dalam penganjuran pelbagai kempen pendidikan keselamatan jalan raya kepada orang ramai. Malahan untuk memastikan tahap keselamatan petugas lebuh raya, PSKLM bersama Niosh memperkenalkan program Expressway Operation Safety Passport (EOSP).

Sehingga kini, 15,000 petugas dan kontraktor menjalankan tugas di lebuh raya menyertai program EOSP.

Ke Arah Lebuhraya Masa Hadapan dan Lebuhraya Pintar

Selain itu, Memperluas Penggunaan Teknologi Digital Dalam Pembangunan Dan Penyenggaraan Infrastruktur adalah Teras Kedua terkandung dalam Pelan Strategik Organisasi 2021–2025 Kementerian Kerja Raya.

Justeru, pihak Konsesi dan kontraktor disaran meneroka dan mendigitalkan semua proses pelaksanaan kerja supaya proses serta kualiti terjamin.

Budaya memanfaatkan teknologi digital sebagai pemudah cara dalam pelaksanaan tugas dan jaminan kualiti, sekali gus menggalakkan inovasi dalam penambahbaikan mutu kerja.

Wakil konsesi dan kontraktor penyelenggaraan perlu bertindak pantas menjadi pihak pertama untuk dihubungi, yang pertama berada di lokasi dan yang pertama beri maklum balas serta mengemaskini informasi sebagaimana hasrat Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Oleh itu, selain pendekatan 3E, PSKLM beraspirasi untuk menjadikan Lebuhraya Malaysia sebagai Lebuhraya Masa Hadapan dan Lebuhraya Pintar.

Azman berkata, syarikat konsesi lebuh raya juga secara berterusan akan menaik taraf teknologi di dalam operasi lebuh raya.

"Penaiktaraf itu termasuk pelbagai sistem termasuk sistem kutipan tol, pemantauan trafik, menaik taraf pusat panggilan pelanggan, pemasangan CCTV berteknologi tinggi, penggunaan dron, pemantauan penyelenggaraan dan pengurusan aset serta penggunaan Artificial Intelligence (AI) untuk menyokong sistem teknologi di lebuh raya.

"Untuk sistem kutipan tol pula, sistem RFID giat diuji dan akan dilaksana di semua plaza tol, sekali gus permulaan lebuh raya di negara ini bersedia ke arah Multi Lane Free Flow (MLFF)," katanya.

PSKLM berharap dengan sokongan Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia serta agensi yang berkaitan dapat merealisasikan MLFF ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 9:53 AM