Abu Samah Othman
Abu Samah Othman
Aizat Sharif


Kangar: Pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai pemandu teksi dan kereta sewa di Perlis kini sukar untuk meneruskan kelangsungan kehidupan seharian.

Dengan jumlah pelanggan berkurangan serta kapasiti penumpang yang dihadkan menjadikan kehidupan mereka kini seperti 'kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

Pengerusi Persatuan Tuan Empunya Kereta Sewa dan Pemandu Teksi Negeri Perlis Abu Samah Othman berkata, persatuan itu mempunyai 20 orang ahli yang masing-masing bertugas di seluruh negeri itu.

"Memang kami sangat terkesan dengan pendapatan merosot. Dulu sekurang-kurangnya pendapatan antara RM80 hingga RM90 sehari mampu diperoleh namun sekarang ini mahu dapat RM30 pun susah.

"Selain itu juga, dengan had penumpang yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu tiga individu termasuk pemandu dalam satu kenderaan juga menyukarkan kami untuk membawa penumpang kerana jika terdapat penumpang yang ramai atau tiga penumpang, mereka terpaksa mencari sebuah lagi teksi untuk dinaiki.

"Selain itu juga, ada ahli kita yang terjejas 'periuk nasi' mereka apabila terpaksa dikuarantin berikutan menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 ketika mereka membawa pesakit ke hospital atau klinik, lagipun pemandu teksi dan kereta sewa ini bukannya tahu penumpang mereka itu bergejala atau tidak," katanya.

Abu Samah ditemui semasa selepas program Sinergi Prihatin Jelajah Utara dengan kerjasama tujuh agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) Infaq Rezeki anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Kompleks Terminal Bas/Teksi Jalan Tun Razak di sini, hari ini.

Program berkenaan turut dihadiri Pengarah Perkeso Perlis Basharudin Khalid, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis Fatimah Mohamed Ali Piah dan wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Abu Samah berharap agar kerajaan dapat melihat keperitan kehidupan pemandu teksi dan kereta sewa negara ini dan dapat memberikan bantuan sewajarnya kepada mereka yang terjejas.

Sementara itu, Ketua Cawangan Sumber Manusia Perkeso Mohd Razmi Khalid berkata, berdasarkan data caruman terdapat sebanyak 10,000 tuntutan bernilai RM11 juta diperolehi pihaknya daripada pencarum di seluruh negara yang disahkan positif Covid-19 termasuk mereka yang sedang menjalani kuarantin sebagai kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

"Daripada jumlah itu juga, 800 pencarum meninggal dunia akibat penularan virus berkenaan yang mana waris mereka akan menerima pencen bulanan serta bayaran pengurusan jenazah Covid-19 bernilai RM2,000.

"Selain itu juga, dalam program hari ini, kita turut menyerahkan sumbangan 100 kotak Infaq Rezeki bernilai RM100 kepada pemandu teksi dan kereta sewa yang terkesan akibat keadaan yang berlaku ini.

"Diharapkan mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Beliau berkata, selain itu juga Perkeso turut menyerahkan enam cek menerusi Faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada enam pemandu teksi yang juga pencarum dengan agensi berkenaan.

"Pemandu teksi itu sebelum ini terpaksa dikuarantin kerana didapati positif selepas menjadi kontak rapat dengan penumpang Covid-19 yang menaiki kenderaan mereka.

"Saya ingin memaklumkan bahawa selain pemandu teksi, semua pekerja yang didapati positif atau kontak rapat pesakit Covid-19 yang mencarum dengan Perkeso boleh mengemukakan tuntutan.

"Pencarum menerusi SKSPS termasuk waris kepada pesakit Covid-19 yang meninggal dunia boleh mengemukakan tuntutan kepada Perkeso untuk semakan kelayakan mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 6:18 PM