YANG Dipertua Pas Shah Alam, Ahmad Dusuki Abd Rani menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi terjejas pendapatan. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
YANG Dipertua Pas Shah Alam, Ahmad Dusuki Abd Rani menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi terjejas pendapatan. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Bukan setakat pendapatan merosot sehingga 80 peratus, malah ada pemandu teksi pulang tangan kosong kerana tiada pelanggan dan ada juga yang terpaksa berhenti kerana tiada pilihan.

Begitulah situasi yang dihadapi oleh pemandu teksi di sekitar Shah Alam sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu sehingga hari ini.

Pemandu teksi Taufik Mokhtar, 70, berkata, adakalanya dia memperoleh RM10 hingga RM12 sehari, malah pernah pulang dengan tangan kosong.

"Kadangkala saya tunggu dan cari pelanggan sehingga empat lima jam, dapatlah seorang dengan caj tambang RM4, nak ambil atau tidak? Terpaksa ambil sebab itu rezeki saya, itu tugas saya," katanya yang berpengalaman sebagai pemandu teksi sejak 21 tahun lalu.

Terdahulu, Taufik antara 80 pemandu teksi, kereta sewa dan Grab yang menerima sumbangan keperluan asas bernilai RM70 di Hentian Teksi Seksyen 2, di sini, semalam.

Katanya, dia terharu kerana masih ada pihak yang prihatin dan memahami keadaan mereka selain berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan itu.

Bagi Timbalan Presiden Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam Razali Sahran, 53, secara purata dalam satu jam agak sukar untuk mereka meraih pendapatan walaupun RM10.

"Sejak mula Covid-19 dan PKP, pendapatan kami menurun sehingga 60 peratus, bila orang awam tidak keluar rumah dan mula bekerja dari rumah, pendapatan turun lagi sehingga 80 peratus.

"Tambahan pula sekarang sekolah tutup, pelajar institusi pengajian tinggi sekitar Shah Alam seperti Universiti Teknologi Mara, Universiti Selangor dan Management Science University juga cuti, pasar raya kurang dikunjungi, orang bekerja dari rumah malah tepi jalan pun tiada pelanggan.

"Paling terkesan ramai yang bekerja dari rumah, kami tiada pelanggan macam dahulu," katanya.

Menurutnya, sebelum ini purata sehari pemandu teksi boleh meraih pendapatan RM150 hingga RM200 namun sejak PKP, untuk mendapatkan RM30 pun agak sukar.

Sementara itu, keperitan yang dilalui mereka mendapat perhatian beberapa pihak antaranya Pas Shah Alam, Matan Centre dan Dapur Tokku dengan kerjasama persatuan itu.

Yang Dipertua Pas Shah Alam Ahmad Dusuki Abd Rani ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan terbabit berkata, sumbangan itu adalah infaq orang awam serta pelbagai pihak.

"Ketika membuat kuliah agama secara dalam talian, saya ada mewar-warkan yang kita semua perlu bantu mereka yang terkesan akibat Covid-19.

"Ramai tersentuh hati dan berkongsi rezeki dengan memberi sumbangan. Barangan yang berikan ini termasuk beras serta beberapa keperluan asas dapur bernilai RM70.

"Kami harap bantuan ini dapat meringankan bebanan mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 4:27 PM