Pemilik premis pusat hiburan di Jalan Universiti ingkar arahan PKP. FOTO IHSAN PDRM.
Pemilik premis pusat hiburan di Jalan Universiti ingkar arahan PKP. FOTO IHSAN PDRM.
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Kedegilan pemilik pusat hiburan di Jalan Universiti, di sini, ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan terus beroperasi mengundang padah apabila diserbu, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam serbuan 7 malam itu, polis menahan pemilik premis bersama empat lelaki warga asing disyaki pekerja berusia 31 hingga 69 tahun.

Menurutnya, mereka ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang lesen menjual minuman keras yang sah selain melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP dengan membuka premis itu.

"Pemeriksaan lanjut di dalam premis, mendapati seramai 17 lelaki dan 10 wanita berusia 20 hingga 66 tahun sedang berkumpul sambil minum minuman keras.

"Mereka kemudian dikenakan kompaun RM1,000 kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan Jenayah dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan (kawalan pergerakan) 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, polis turut merampas lapan botol minuman keras pelbagai jenama, tiga unit alatan elektronik dan wang tunai RM675.

"Kes disiasat mengikut Seksyen76 Akta Eksais 1976, Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 dan Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63.

"Siasatan juga dibuat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 8:27 PM