ANTARA barangan dan wang tunai yang dirampas dalam Op Dadu di sekitar Petaling Jaya, semalam. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barangan dan wang tunai yang dirampas dalam Op Dadu di sekitar Petaling Jaya, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Polis menahan 12 lelaki termasuk seorang warga asing dipercayai terbabit dalam aktiviti perjudian dalam Op Dadu di lapan lokasi sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, semua individu berusia 18 hingga 70 tahun itu ditahan di restoran, kedai runcit serta rumah.

"Mereka yang ditahan disyaki terbabit dengan kegiatan perjudian dalam talian, menjual serta membeli loteri awam haram dan menjual nombor ekor.

"Kami merampas 12 telefon bimbit, wang tunai kira-kira RM4,000 dan beberapa peralatan lain. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya dalam kenyataan, hari ini.

ANTARA pengunjung sebuah pusat hiburan di Sea Park, Petaling Jaya, yang dikenakan tindakan kompaun dalam serbuan, semalam. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA pengunjung sebuah pusat hiburan di Sea Park, Petaling Jaya, yang dikenakan tindakan kompaun dalam serbuan, semalam. FOTO Ihsan PDRM

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, seramai 13 individu termasuk empat wanita dikompaun RM1,000 ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Sea Park, di sini, semalam.

Nik Ezanee berkata, dalam serbuan 10.30 malam itu, terdapat sembilan lelaki dan empat wanita berusia 32 hingga 54 tahun sedang berkumpul dan minum minuman keras di dalam premis berkenaan.

"Semua individu terbabit dikenakan kompaun RM1,000 kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya.

Katanya, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 21 dan 28 tahun yang juga pekerja serta penjaga premis itu kerana membuka pusat hiburan terbabit semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

"Kami turut merampas 10 botol minuman keras pelbagai jenama serta wang tunai berjumlah RM545 dalam serbuan berkenaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 8:07 PM