ANTARA iindividu ditahan kerana melanggar peraturan PKPB.
ANTARA iindividu ditahan kerana melanggar peraturan PKPB.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 101 individu, termasuk tiga pelayan pelanggan warga asing ditahan kerana melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah premis hiburan di Damansara Utama, Petaling Jaya, hari ini.

Dalam serbuan 2 pagi itu, 56 individu lelaki dan 45 wanita didapati ingkar PKPB apabila berhibur dan berkumpul di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, semua individu yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 39 tahun.

"Tiga wanita warga asing berusia 21 hingga 40 tahun disyaki pelayan pelanggan turut ditahan kerana melanggar syarat pas lawatan.

"Ujian saringan air kencing terhadap pengunjung premis itu mendapati dua wanita positif dadah jenis ganja dan amphetemine," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, serbuan turut merampas 65 botol minum keras pelbagai jenama dan empat resit.

"Daripada jumlah itu seramai 98 individu dikompaun mengikut Peraturan 15(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (no 6) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

"Pelbagai kesalahan lain disiasat mengikut Seksyen 135(2) Akta Kastam, Seksyen 39(b) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 2:56 PM