ANTARA minuman keras serta wang tunai yang dirampas dalam serbuan itu. FOTO IHSAN PDRM
ANTARA minuman keras serta wang tunai yang dirampas dalam serbuan itu. FOTO IHSAN PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Lima lelaki dikompaun RM1,000 selepas didapati berkumpul serta minum arak dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Dataran Mentari, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam operasi 1.05 pagi, polis mendapati lima pelanggan berusia 23 hingga 56 tahun sedang berkumpul dan minum minuman keras di dalam premis berkenaan.

"Kami turut menahan dua pekerja premis iaitu seorang lelaki serta seorang wanita masing-masing berusia 32 tahun dan 21 tahun selepas didapati gagal menunjukkan sebarang lesen sah menjual minuman keras.

"Malah, mereka juga didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan membuka pusat hiburan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut merampas tujuh botol minuman keras serta wang tunai berjumlah RM560 dalam serbuan itu.

"Semua pelanggan serta dua pekerja premis berkenaan dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar SOP ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Kawalan Pergerakan) 2021," katanya.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997.

"Kami memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan kegagalan mematuhi arahan ini membolehkan mereka dikompaun RM1,000 atau ditahan dan didakwa di mahkamah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 4:19 PM