GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Tiga lelaki warga asing ditahan manakala tiga lelaki tempatan dikompaun kerana ingkar arahan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan pertama membabitkan lelaki warga asing berusia 31 tahun di sebuah premis makanan di PJU 6A, di sini, jam 10.35 pagi kerana tidak memakai pelitup muka dan membenarkan pelanggan masuk tanpa memakai pelitup muka.

Menurutnya, pelanggan lelaki berusia 44 tahun itu dikenakan kompaun RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka mengikut Peraturan 15 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

"Tangkapan kedua pula membabitkan lelaki warga asing berusia 32 tahun jam 3 petang di sebuah restoran di Mutiara Damansara kerana membenarkan dua pelanggannya makan di dalam premis.

"Dua pelanggan lelaki berusia 28 dan 38 tahun itu dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar arahan PKP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, tangkapan ketiga membabitkan lelaki warga asing berusia 46 tahun di sebuah premis cuci kenderaan di Jalan SS 25/32, Taman Mayang, di sini, jam 4.30 petang kerana gagal mengemukakan surat kebenaran untuk beroperasi seperti mana sektor pekerjaan yang dibenarkan.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit

yang berbahaya kepada nyawa), Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPP) 1988 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Justeru, pihak polis memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKPbermula 13 hingga 26 januari 2021," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 4:36 PM