Anggota polis melakukan siasatan di premis berkenaan selepas serbuan dilakukan. FOTO ihsan polis
Anggota polis melakukan siasatan di premis berkenaan selepas serbuan dilakukan. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Tindakan 17 individu berhibur sambil minum arak di sebuah pusat hiburan di PJU 7/3, di sini, dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengundang padah apabila dikenakan kompaun semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, serbuan jam 11 malam itu dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hasil aduan orang awam.

Menurutnya, ketika serbuan seramai 17 orang terdiri 13 lelaki dan empat wanita sedang leka berhibur serta minum arak.

"Pemeriksaan lanjut mendapati pemilik premis melakukan kesalahan membuka premis hiburan dalam tempoh PKPB dan premis juga tidak mempunyai lesen pusat hiburan yang sah serta tidak mempunyai lesen menjual minuman keras.

"Siasatan awal mendapati, anggaran komisen yang diterima oleh pemilik premis sebanyak RM 2,000 sebulan yang menyasarkan pelanggan warga tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, polis turut merampas 13 botol minuman keras pelbagai jenama dan peralatan audio.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hburan 1998, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 3 dan 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Seramai 18 orang termasuk pemilik premis dikenakan kompaun sebanyak RM1,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 5:05 PM