AWANG pada sidang media selepas Majlis Tautan Kasih Rakan Media Negeri Kedah. FOTO Luqman Hakim Zubir.
AWANG pada sidang media selepas Majlis Tautan Kasih Rakan Media Negeri Kedah. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seramai 10,961 atau 73.9 peratus majikan dikesan gagal memenuhi kemudahan penginapan asrama pekerja dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) antara 1 Februari hingga 15 April lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, hanya 3,874 atau 26.1 peratus majikan berjaya mematuhi kemudahan penginapan mengikut Akta 446.

"Sepanjang penguatkuasaan itu sebanyak 14,835 pemeriksaan berkanun dijalankan ke atas premis majikan membabitkan 95,870 tempat penginapan. Pemeriksaan turut membabitkan 616,216 pekerja asing dan 43,698 pekerja tempatan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 625 kertas siasatan dibuka atas kesalahan tidak diperakui Perakuan Penginapan oleh Ketua Pengarah Tenaga Kerja dan penginapan tidak mematuhi undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Antara kesalahan lain, majikan juga gagal menyediakan ruang rehat dan ruang makan serta tidak mengikut syarat ketebalan tilam kurang empat inci," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis tautan kasih bersama pengamal media Kedah, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Awang berkata, JKT turut mengeluarkan 34 arahan pindah kerja, 2,417 arahan baiki atau tambah baik tempat penginapan dan 7,885 majikan diarahkan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Katanya, operasi itu satu daripada kaedah JTK menyampaikan keperluan dan kehendak mengikut Akta 446 kepada majikan.

"Selain itu, jabatan turut mengadakan sesi libat urus serta penerangan secara bersemuka dan secara maya kepada persatuan-persatuan majikan untuk memberi penerangan jelas berkaitan akta berkenaan.

"Ia juga bagi menangani masalah penginapan pekerja yang tiada fasiliti kebersihan yang baik, sempit, tiada pengudaraan yang baik dan tidak terurus seterusnya mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja warga asing," katanya.

Awang berkata, ini kerana Malaysia mengamalkan dasar perburuhan yang tidak membezakan antara pekerja tempatan dan pekerja asing yang mana perlindungan dari segi kebajikan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan disama ratakan.

Katanya, ia bukan sahaja untuk menjaga hubungan dua hala tetapi memastikan Malaysia tidak mempunyai amalan buruh paksa atau pemerdagangan imigran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 10:39 AM