GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Wartawan HM

Kuala Lumpur: Penyediaan senarai semak dan penilaian risiko boleh menjadi strategi mengawal lonjakan kluster Covid-19 di tempat kerja.

Mantan Profesor Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zailina Hashim berkata, sepertiga daripada semua kluster di Malaysia sekarang adalah kluster tempat kerja, justeru Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu dikaji dengan membuat pendekatan yang berbeza.

"Kluster tempat kerja menjadi penyumbang utama gelombang ketiga Covid-19 merangkumi 78,906 kes daripada sejumlah 315,100 pekerja yang disaring. Sebanyak 25 peratus atau seorang daripada setiap empat pekerja yang disaring didapati positif.

"Sebagai contoh, Kluster Teratai saja kadar positif sebanyak 69 peratus dan sebagai perbandingan, Kluster Tabligh Sri Petaling kadar positif hanya lapan peratus.

"Sehubungan itu, kita harus menangani kemunculan kluster di tempat kerja ini dengan lebih berkesan," katanya ketika dihubungi.

PROF Dr Zailina Hashim. FOTO ihsan Prof Dr Zailina Hashim
PROF Dr Zailina Hashim. FOTO ihsan Prof Dr Zailina Hashim

Beliau berkata, menggunakan senarai semak tempat kerja dan seterusnya melakukan penilaian risiko boleh membantu mengenalpasti risiko berpotensi ditimbulkan Covid-19.

"Senarai semak adalah langkah pertama dalam menjalankan penilaian risiko dengan membentangkan masalah atau bahaya secara berasingan. Ia harus disesuaikan dengan sektor atau tempat kerja.

"Penilaian risiko adalah proses menilai risiko keselamatan dan kesihatan pekerja dari bahaya Covid-19 di tempat kerja.

"Ia adalah pemeriksaan sistematik daripada semua aspek pekerjaan untuk mengenal pasti bagaimana pekerja terdedah kepada Covid-19 dan jika bahaya ini tidak dapat dihapuskan, apakah perlindungan yang disaran untuk mengurangkan risiko," katanya.

Menurutnya, lima langkah mudah boleh dilakukan iaitu pertama, mengenalpasti bahaya dan mereka yang berisiko.

"Langkah kedua ialah menilai risiko dari segi keparahan Covid-19 dan kebarangkalian apabila jangkitan berlaku. Risiko diklasifikasikan mengikut urutan kepentingan dengan diberi skor," katanya.

Seterusnya, beliau berkata, langkah ketiga ialah menilai tahap pendedahan kepada pekerja dengan mengklasifikasikan dengan skor bagi mengenal pasti langkah sesuai untuk mengurang atau mengawal pendedahan.

"Langkah keempat ialah menilai tahap risiko berdasarkan kepada skor dari segi keparahan dan kebarangkalian apabila jangkitan serta skor tahap pendedahan yang berlaku di tempat kerja.

"Terakhir ialah pengurusan serta tindakan yang diambil umpamanya pencegahan melalui penghapusan Covid-19 dan perlindungan daripada terdedah," katanya.

Menurutnya, pemantauan ke atas penilaian risiko ini, harus dikaji secara berkala untuk memastikannya berkesan dan terkini jika ada sebarang perubahan fizikal atau pentadbiran di tempat kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 7:18 PM