ANGGOTA bomba memadam kebakaran dua rumah di Jalan Benteng Barat, Jinjang Utara, Kuala Lumpur, malam tadi, yang menyebabkan seorang lelaki melecur. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran dua rumah di Jalan Benteng Barat, Jinjang Utara, Kuala Lumpur, malam tadi, yang menyebabkan seorang lelaki melecur. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang lelaki melecur pada tangan dalam kejadian kebakaran membabitkan dua rumah di Jalan Benteng Barat, Jinjang Utara, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 7.45 malam.

"Seramai 40 anggota bersama tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, BBP Gombak Selatan, BBP Manjalara dan BBP Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran membabitkan dua rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman api dilakukan secara 'offensive' dan 'defensive' untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.

"Kemusnahan kebakaran dianggarkan 90 peratus bagi rumah pertama, manakala rumah kedua terbakar 70 peratus.

"Kebakaran dapat dikawal jam 8.19 malam dan api padam sepenuhnya jam 10.33 malam.

"Terdapat seorang lelaki berusia 44 tahun dilaporkan melecur pada bahagian tangan dan mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Selayang," katanya.

Katanya, punca kebakaran dalam kejadian itu masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 12:24 AM