kebakaran alat pemanas di kilang beras di Batu 9 Jerlun, pagi tadi. FOTO ihsan bomba
kebakaran alat pemanas di kilang beras di Batu 9 Jerlun, pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Alat pemanas di kilang beras di Batu 9 Jerlun, di sini, terbakar, pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 7.14 pagi dan tiba di lokasi pada 7.33 pagi bersama sebuah jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra.

Katanya, seramai 11 anggota dari BBP Jitra yang turut dibantu 34 anggota dari enam Pasukan Bomba Sukarela (PBS) membantu memadam api.

"Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati, kebakaran membabitkan alat pemanas yang terletak di stor simpanan beras.

"Bagaimanapun hasil maklumat daripada pihak kilang mendapati, alat pemanas itu tidak lagi beroperasi dan dalam proses pelupusan," katanya.

Nur Hafizah berkata, kebakaran itu hanya membabitkan 10 peratus dan tindakan memadam kebakaran dilakukan dari tingkat atas dan bawah alat pemanas itu.

Katanya, api dapat dikawal pada 8.02 pagi dan dipadam sepenuhnya pada 9.08 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 11:14 AM