PETUGAS barisan hadapan berdepan detik cemas apabila dua khemah SJR tumbang akibat dipukul ribut, hari ini. FOTO ihsan polis
PETUGAS barisan hadapan berdepan detik cemas apabila dua khemah SJR tumbang akibat dipukul ribut, hari ini. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Beberapa petugas barisan hadapan membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang bertugas di kawasan sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Klang Lama, di sini, berdepan detik mencemaskan apabila dua khemah tumbang akibat hujan lebat dan ribut, hari ini.

Dalam kejadian 5.18 petang itu, mereka terpaksa menyelamatkan diri ke bawah jambatan berhampiran selepas angin terlalu kuat ketika itu.

Menurut sumber, pada mulanya anggota polis dan tentera cuba menahan khemah itu daripada tumbang, namun gagal apabila hujan lebat disusuli ribut menyebabkan khemah milik tentera patah.

"Mereka kemudian terpaksa berteduh di bawah jambatan berhampiran lokasi itu.

"Mujur tiada kejadian tidak diingini berlaku dan sebaik hujan reda, anggota terbabit membaiki semula khemah yang tumbang itu sebelum meneruskan penugasan mereka," katanya.

Sementara itu, ribut turut menyebabkan kejadian pokok tumbang di Kampung Haji Salleh, Jalan Pantai Dalam.

Skuad Kecemasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengambil tindakan menebang pokok dan mengalihkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 7:22 PM