Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Walaupun polis giat melakukan operasi membanteras kegiatan samseng jalanan, kumpulan mat rempit masih tidak serik apabila berkumpul untuk menguji kehebatan motosikal masing-masing.

Terbaharu, Skuad 42 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu menyerbu kawasan di Jalan Kampung Petiti, Manir, di sini, semalam yang menjadi port mereka berkumpul.

Dalam Ops Samseng Jalanan bermula kira-kira 5 petang hingga 9 malam itu, dua lelaki masing-masing berusia 19 dan 26 tahun ditahan kerana didapati berlumba.

Ketua JSPT Terengganu Superintendan Abd Razak Hassan berkata, pihaknya melakukan pemantauan sebelum melihat sekumpulan penunggang motosikal mula memasuki kawasan operasi.

Menurutnya, dua lelaki yang menunggang motosikal Yamaha Y15 daripada kumpulan berkenaan mula berlumba, manakala yang lain menjadi penonton.

DUA lelaki yang dikesan berlumba ketika Ops Samseng Jalanan di Jalan Kampung Petiti, Manir. FOTO ihsan JSPT Terengganu
DUA lelaki yang dikesan berlumba ketika Ops Samseng Jalanan di Jalan Kampung Petiti, Manir. FOTO ihsan JSPT Terengganu

"Sebaik menyedari kehadiran anggota polis, kumpulan penunggang motosikal itu bertindak melarikan diri, namun berjaya menahan dua lelaki yang berlumba sebelum itu.

"Kedua-dua lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Polis turut menyita tiga motosikal lain untuk siasatan mengikut Seksyen 64 APJ 1987 selain turut mengeluarkan 41 saman membabitkan pelbagai kesalahan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Abd Razak berkata, pihaknya memandang serius isu mat rempit di Terengganu dan akan meningkatkan operasi bagi mengekang aktiviti tidak sihat berkenaan.

Katanya, tindakan kumpulan berkenaan bukan sahaja berbahaya kepada diri mereka, tetapi pengguna jalan raya lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 3:41 PM