DR R BADLISHAH AHMAD
DR R BADLISHAH AHMAD
Muhammad Saufi Hassan

 

Kuala Lumpur: Memahami situasi pandemik Covid-19 yang masih menular di negara kita, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Pusat Perhubungan Alumni (PPA) menganjurkan program 'Suara Kita' bagi memberi gambaran kepada alumninya mengenai peluang kerjaya sepanjang situasi berkenaan.

Naib Canselor UniMAP Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata, penganjuran program itu membuktikan UniMAP sentiasa mencari inisiatif agar warga universiti itu, khususnya penuntut dan alumni, diberi pendedahan dan dibantu dalam membina idea serta kerjaya selain menguasai ekonomi digital terkini.

Katanya, situasi pandemik menyebabkan penuntut serta alumni perlu lebih kreatif dan sedia menerima perubahan termasuk mengenai ekonomi digital yang sentiasa dinaik taraf kemajuan aplikasinya.

"Saya percaya, program hari ini dapat memberi pendedahan kepada penuntut, alumni UniMAP serta masyarakat tentang ilmu ekonomi digital.

"Ia diperlukan dalam e-perniagaan, e-dagang dan infrastruktur e-perniagaan seterusnya membantu menjana pendapatan," katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Auditorium Bangunan Canselori, UniMAP, Arau, Perlis.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP Prof Dr Mohd Fo'ad Sakdan dan Pengarah PPA Dr Mohd Zakimi Zakaria.

Program ini kerjasama antara PPA, Alumni UniMAP Chapter Tengah serta Akademi KRU dengan tajuk 'Ekonomi Digital: Menaiktaraf Produktiviti dan Kehidupan Berkualiti'.

Ia berlangsung secara atas talian dengan penceramah jemputan siri ketiga adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU Datuk Norman Abdul Halim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 4:52 PM