MAJLIS Penutup ASP 2021 dan AFW 2021 secara dalam talian.
MAJLIS Penutup ASP 2021 dan AFW 2021 secara dalam talian.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


MENGADAPTASI digital yang semakin pesat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif baharu dengan menganjurkan dua program antarabangsa secara atas talian.

Program berkenaan adalah Bengkel Fakulti Asean (AFW) dan Program Asia Summer' (ASP) yang kedua-duanya turut berlangsung menggunakan medium digital.

Seramai 112 pelajar dari pelbagai negara Asia telah menyertai ASP 2021 manakala AFW 2021 disertai 30 tenaga pengajar.

Naib Canselor UniMAP Prof Dr Zaliman Sauli berkata, kedua-dua program berkenaan adalah platform tepat bagi mengharungi cabaran dalam pendidikan khususnya ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.

Katanya, terdapat banyak manfaat yang boleh didapati oleh pelajar daripada mobiliti maya itu seperti meningkatkan keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran berbahasa.

"Dengan memperkenalkan pelajar ke lingkungan kolaboratif, ini memberi peluang kepada mereka untuk menjadi lebih produktif dalam kerja berpasukan sekaligus meningkatkan prestasi dan kemajuan kerjaya mereka pada masa hadapan.

"Universiti juga harus memperkuat daya pertahanan sistem pendidikan dengan memberi fokus kepada kemasukan serta ekuiti, memperkukuhkan keupayaan untuk pengurusan risiko, memastikan kepemimpinan dan koordinasi yang kuat serta mekanisme perundingan bersama-sama  komunikasi.

"Oleh itu, diharapkan menerusi sesi perkongsian semasa AFW 2021 yang berlangsung membolehkan peserta meningkatkan kemahiran dan kecekapan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian kerana pembelajaran digital telah muncul sebagai sesuatu yang sangat diperlukan untuk pendidikan," katanya  ketika berucap di Majlis Penutup ASP 2021 dan AFW 2021 secara dalam talian, baru-baru ini.

Hadir sama secara dalam talian ialah Presiden Josai International University, Prof Dr Kenji Sugibayashi yang bakal menjadi hos ASP 2022 dan AFW 2022, Pengarah Pusat Libatsama Antarabangsa (CIE) Prof Madya Dr Tunku Salha Tunku Ahmad dan Pengarah Pusat Pembangunan Kepimpinan Pendidikan Lestari (LEAD) UniMAP, Prof Dr Salleh Abd Rashid.

Zaliman berkata, AFW 2021 adalah peluang untuk mengetahui amalan terbaik berkaitan pengajaran dalam talian daripada peserta daripada pelbagai negara seluruh Asia.

"Perkongsian sepanjang program AFW berlangsung dapat memberi idea baharu dan segar dalam usaha memastikan proses pengajaran berada pada tahap terbaik dan memanfaatkan pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 9:55 PM