UniMAP
UniMAP
Muhammad Saufi Hassan


Sesuai dengan tradisi inovasi serta sentiasa mendepani dunia digital dalam segenap aspek, seorang pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta sejarah apabila menjadi penerima tunggal Anugerah Pelajar ACTA 2020.

  Penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) UniMAP, Dr Flora Samidin menjadi pelajar tunggal dari negara ini yang menerima anugerah berkenaan.

  Pengiktirafan itu diperoleh menerusi penerbitan bertajuk "Direct Observation Of The Ni Stabilising Effect In Interfacial (Cu,Ni) 6Sn5 Intermetallic Compounds."

  Naib Canselor UniMAP Prof Dr Zaliman Sauli berkata, anugerah itu adalah pengiktirafan berprestij diberikan kepada pelajar yang menjalankan penyelidikan serta memberi sumbangan besar dalam dunia.

  Katanya, penyelidik itu menerbitkan 'Jurnal Materialia' iaitu antara beberapa jurnal dibawah Jurnal Acta antaranya Acta Materialia, Scripta Materialia, Acta Biometerialia dan Materialia. 

  "UniMAP berasa bangga kerana beliau (Dr Flora Samidin) menjadi pelajar Malaysia tunggal menerima pengiktirafan berkenaan dan berharap ia menjadi dorongan kepada penyelidik UniMAP lain menempa pengiktirafan yang berprestij seperti itu di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 10:28 PM