UNIMAP anjur e-Nice dalam usaha mengadaptasi era digital untuk keperluan semasa. - FOTO Google
UNIMAP anjur e-Nice dalam usaha mengadaptasi era digital untuk keperluan semasa. - FOTO Google
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


PANDEMIK Covid-19 yang sudah melanda dunia lebih setahun lalu memberi kesan besar terhadap kadar adaptasi digitalisasi untuk semua peringkat terutamanya dalam bidang pembelajaran.

Hari ini, pelajar umpamanya sudah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) walaupun masih terdapat kekangan, namun integrasi digital itu terus berlaku setiap waktu.

Situasi sama turut berlaku dalam segmen pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) apabila mereka juga melaksanakan pembelajaran secara atas talian sekali gus merubah landskap integrasi digital secara menyeluruh.

Sebelum ini, ia umpama tradisi setiap lepasan siswazah akan menghadapi seminar kerjaya namun berikutan situasi pandemik, karnival seumpama itu tidak boleh dilaksanakan.

Mendepani cabaran berkenaan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif berbeza dengan melaksanakan karnival kerjaya berkenaan secara atas talian khusus untuk graduan.

Penganjuran kerjaya 'e-Northern Industrial Career Engagement' (e-Nice) adalah manifestasi terhadap keprihatinan IPT berkenaan serta mengadaptasi era digital untuk keperluan semasa.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Dr Mohd Rizal Arshad berkata, karnival berkenaan menjadi agenda perdana UniMAP dalam usaha menyediakan platform, ruang serta peluang kepada pelajar tahun akhir IPT berkenaan untuk memohon pekerjaan.

SEMINAR kerjaya secara atas talian menjadi inisiatif Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk memberi maklumat terkini kepada graduannya.
SEMINAR kerjaya secara atas talian menjadi inisiatif Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk memberi maklumat terkini kepada graduannya.

ERA digitalisasi memaksa kebanyakan institusi pengajian tinggi melaksanakan pembelajaran menerusi atas talian.
ERA digitalisasi memaksa kebanyakan institusi pengajian tinggi melaksanakan pembelajaran menerusi atas talian.

"Secara keseluruhan, jumlah pelajar tahun akhir yang bakal bergraduat bagi tahun ini adalah seramai 3,207 orang dengan pecahan Doktor Falsafah dan Sarjana 300 orang, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan adalah seramai 1,304 dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan seramai 522.

"Seramai 677 pelajar pula adalah dari Sarjana Muda Perniagaan dan Sarjana Muda Komunikasi manakala seramai 404 pelajar dari Pengajian Diploma," katanya.

Mohd Rizal yang juga menjalankan tugas Naib Canselor berkata, UniMAP sangat gembira dengan penyertaan daripada pelbagai sektor industri walaupun dalam situasi pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"UniMAP sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) serta mengadakan kerjasama bersama Prosple, sebuah syarikat dari Australia yang bertindak mengumpul peluang pekerjaan dari serata dunia.

"Prosple juga berbesar hati untuk berkongsi beberapa maklumat berkaitan peluang pekerjaan di Australia bersama pelajar UniMAP selepas ini," katanya.

Menurutnya, selain daripada mencari pekerjaan, pelajar-pelajar juga berpeluang menghadiri ceramah kerjaya dari beberapa syarikat dan industri yang mengambil bahagian dalam sesi perbincangan karier dan menyeru semua pelajar untuk tidak melepaskan peluang keemasan ini.

Usaha UniMAP dalam mengadaptasi era digital dengan keperluan semasa perlu dijadikan contoh oleh IPT lain memandangkan ia adalah langkah perlu supaya graduan tidak ketinggalan terutamanya memperoleh maklumat sebelum memasuki gerbang kerjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 7:00 AM