KETUA Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan PDSA antara UniMAP diwakili oleh Badlishah (kiri) dan MAMPU diwakili oleh Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Dr Yusof Ismail. FOTO ihsan UniMAP
KETUA Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan PDSA antara UniMAP diwakili oleh Badlishah (kiri) dan MAMPU diwakili oleh Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Dr Yusof Ismail. FOTO ihsan UniMAP

Muhammad Saufi Hassan

[email protected]

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi Universiti Awam (UA) pertama menjalinkan kerjasama strategik bagi perkhidmatan Pusat Data Sektor Awam (PDSA) bersama Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata, jalinan kerjasama itu diharap dapat menjadi pemacu kecemerlangan dan kemudahan prasarana digital di UniMAP selaras dengan Agenda Transformasi Digital pusat pengajian berkenaan.

"Antara inisiatif yang dimulakan sebelum ini ialah transformasi emel rasmi UniMAP membabitkan kakitangan serta pelajar menggunakan perkhidmatan emel percuma 'GSuite for Education' yang disediakan oleh Google menerusi Gmail.

"Kami juga sudah menaik taraf capaiaan talian jalur lebar dengan 2Gbps kepada 10Gbps yang mana ia adalah sebahagian inisiatif memperkasakan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) UniMAP.

"Selain itu, kami turut menyediakan platform Blockchain (E-Verifikasi) yang menawarkan modul iaitu skrol, transkrip, data pelajar dan data kakitangan," katanya dalam satu kenyataan akhbar, sebentar tadi.

Menurutnya, pusat data yang disediakan oleh PDSA MAMPU akan menyaksikan 95 peratus sistem aplikasi di UniMAP akan dipindahkan ke perkhidmatan awam.

"Menerusi kerjasama dengan MAMPU ini, kami berharap akan meneruskan lagi agenda transformasi digital ini ke tahap yang lebih baik bagi memastikaan inisiatif persekitaran kerja digital, perkhidmatan awan (Cloud Service) dan inisiatif pendigitalan penyampaian perkhidmatan dapat ditingkatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 6:25 PM