Prof. Dr. Azlinda merasmikan sudut Serambi Ilmu Rakyat@USM sambil disaksikan oleh Dato' Haji Mohd Shahrizal Haji Sahri. FOTO ihsan Yayasan Bank Rakyat
Prof. Dr. Azlinda merasmikan sudut Serambi Ilmu Rakyat@USM sambil disaksikan oleh Dato' Haji Mohd Shahrizal Haji Sahri. FOTO ihsan Yayasan Bank Rakyat
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Prihatin kepada mereka yang memerlukan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) menawarkan Bantuan Awal Pengajian untuk penuntut universiti awam di bahagian utara membabitkan peruntukan keseluruhan bernilai RM300,000.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Shahrizal Sahri berkata, bantuan itu akan memanfaatkan 300 penuntut dari keluarga B40 yang menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

"Program bantuan awal pengajian ini di wujudkan buat keluarga yang kurang berkemampuan terutama masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar.

"Harap bantuan terbabit dapat memberi peluang kepada penuntut itu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya mewakili Lembaga Pemegang Amanah YBR dalam menyerahkan Bantuan Awal Pengajian YBR kepada pelajar USM.

Replika cek Bantuan Awal Pengajian ini serta upacara gimik penyerahan SIR Corner disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM), Prof Dr Azlinda Azman.

Turut hadir dalam sesi ini adalah Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani serta

Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman.

Katanya, YBR melalui Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat (SIR Corner) turut menyumbangkan set kelengkapan 'SIR Corner' ini kepada tiga universiti itu dengan peruntukan RM350,000 setiap tahun di SIR untuk langganan bahan bacaan dan pangkalan data.

"Projek SIR Corner ini adalah projek baharu YBR yang menyediakan ruangan selesa di perpustakaan universiti terpilih yang dilengkapi dengan peralatan komputer bagi memudahkan perkongsian maklumat melalui koleksi bahan bacaan 'Digital SIR' yang bersesuaian dengan pelajar.

"Projek ini adalah kolaborasi SIR YBR bersama 18 institut pengajian tinggi (IPT) terpilih di seluruh Malaysia.

"Bantuan ini diharapkan dapat melahirkan pelajar yang lebih komited, berkualiti, mampan serta mampu berdaya saing di semua peringkat yang menjadi asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara untuk jangka masa panjang serta supaya pelajar memanfaatkan setiap peluang disediakan," katanya.

YBR memperuntukkan RM100,000 kepada penuntut USM dari kalangan keluarga berpendapatan rendah yang menerima tawaran kemasukan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda serta pelajar sehingga semester ketiga dalam memulakan pengajian pada semester baharu.

Setiap dari mereka akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 setiap seorang bagi membuat persediaan kemasukan sesi pengajian yang baharu sahaja bermula.

YBR juga memperuntukkan RM45,000 untuk tiga universiti awam di kawasan Utara dengan setiap daripadanya menerima RM15,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 1:48 PM