Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Tiada keperluan untuk menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) baharu di negeri ini berikutan tiga PKRC sedia ada masih mampu menampung jumlah pesakit.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, tiga PKRC iaitu di Dewan Jubli Perak dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) serta satu di Gua Musang mencukupi untuk menampung pesakit kerana kes Covid-19 di negeri itu semakin menurun.

"Bagaimanapun, kita sudah mengenal pasti beberapa dewan untuk dijadikan PKRC jika memerlukan.

"Setakat ini kami mendapat kerjasama baik daripada semua pihak sama ada kerajaan negeri atau agensi lain, namun yang penting sekarang bagaimana kita menurunkan jangkitan bukan membuka PKRC," katanya.

Beliau ditemui pada program Info On Wheels (IOW) di Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini, yang dilancarkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, hari ini.

Dr Zaini berkata, secara kumulatif setakat ini, lebih 500 individu sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan daripada angka itu seramai 140 kes masih aktif.

"Bagi yang menjalani HSO di rumah, pemantauan sentiasa dibuat sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Jabatan Kesihatan Negeri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 2:01 PM
    DATUK Dr Zaini Hussin ketika hadir meninjau di SJR Jambatan Sultan Yahya Petra pada program Info On Wheels Jabatan Penerangan Kelantan sempena kempen pematuhan SOP COVID-19. Nik Abdullah Nik Omar
    DATUK Dr Zaini Hussin ketika hadir meninjau di SJR Jambatan Sultan Yahya Petra pada program Info On Wheels Jabatan Penerangan Kelantan sempena kempen pematuhan SOP COVID-19. Nik Abdullah Nik Omar