Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini masih mampu menampung keperluan pesakit Covid-19 walaupun kadar penggunaan sudah mencapai antara 80 hingga 85 peratus.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, ia susulan pembukaan dua PKRC baharu di Pasir Mas dan Tanah Merah sejak beberapa hari lalu.

Katanya, PKRC di Gelanggang Seni di sini, akan dibuka esok yang mampu menampung 140 pesakit tahap satu dan dua serta 30 katil perubatan bagi pesakit tahap tiga.

"Setakat ini Kelantan membuka 10 PKRC dan mampu menampung bilangan pesakit memandangkan ada pesakit yang keluar dan masuk setiap hari.

"Misalnya, hari ini seramai 200 pesakit yang akan discaj di seluruh PKRC yang ada di negeri ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, kadar penggunaan PKRC di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa mencecah sehingga 99 peratus, namun seramai 52 pesakit akan discaj, hari ini.

DR Zaini (kiri) diringi Dr Mohd Azman meninjau persiapan akhir di PKRC di Gelanggang Seni yang dilengkapi dengan 30 katil klinikal dan 50 katil bertingkat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DR Zaini (kiri) diringi Dr Mohd Azman meninjau persiapan akhir di PKRC di Gelanggang Seni yang dilengkapi dengan 30 katil klinikal dan 50 katil bertingkat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"PKRC di Tanah Merah yang baharu dibuka mempunyai seramai 20 pesakit atau 10 peratus daripada kapasiti. PKRC yang lain jumlahnya antara 80 sehingga 85 peratus.

"Kita berharap dengan pembukaan PKRC di Gelanggang Seni, esok, ia dapat menampung keperluan yang tinggi ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, Kelantan merekodkan sebanyak 357 kes baharu Covid-19 hari ini berbanding 109 kes, semalam.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negeri ini sebanyak 19,224 kes.

"Terdapat satu kluster baharu direkodkan hari ini," katanya di laman Facebooknya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 5:07 PM