GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kelantan bersedia sekiranya kes Covid-19 di negeri itu kembali melonjak berikutan perayaan Aidiladha tidak lama lagi.

Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kelantan Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, jika kes kembali meningkat, PKRC yang ada di negeri itu masih boleh menampung jumlah pesakit.

Menurutnya, PKRC di negeri itu mampu menampung sehingga hampir 3,000 pesakit pada satu-satu masa.

"Buat masa ini, dua PKRC ditutup dan dua lagi bakal ditutup termasuk di Dewan Utama, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian.

"Kita mengambil keputusan menutup PKRC itu kerana jumlah pesakit yang berkurangan pada masa ini. Katil PKRC yang ditutup itu akan dipindahkan ke 10 PKRC lain untuk digunakan secara optimum bagi menampung pesakit yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di PKRC Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan (JKKN) di Tanjung Chat di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan peralatan perubatan berjumlah lebih RM100,000 daripada Persatuan Budhist Tzuchi Cawangan Kelantan yang diwakili, Evone Lim.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Zurairie berkata, jumlah pesakit di PKRC pada masa ini adalah kira-kira 700 orang.

Pada perkembangan yang lain, beliau memohon pihak Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) mengurangkan kadar sewa berikutan PKRC itu amat diperlukan untuk menampung pesakit wanita.

"Kadar sewa di Putik juga tinggi, namun kita tidak boleh menutup PKRC itu kerana jumlah pesakit di situ masih ramai.

"Kita harap mereka kurangkan kadar sewa bagi membolehkan PKRC di lokasi itu terus beroperasi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 4:00 PM