Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan Selangor akan membuka pasar tani di sekitar negeri ini secara berperingkat berdasarkan situasi semasa penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, sehingga kini 22 daripada 48 pasar tani di negeri ini dibenarkan beroperasi mengikut Standard Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan termasuk pasar tani Stadium Shah Alam yang mula dibuka hari ini selepas dua minggu ditutup kerana perlu disemak semula SOP.

Dalam pada itu, Izham berkata pihaknya juga akan memulakan kembali Selangor Agro Market (SAM) yang dilaksanakan tahun lalu.

Katanya, perbincangan akan dilakukan dengan pelbagai pihak berkaitan dalam masa terdekat untuk memastikan SAM dan pasar tani tidak dijalankan ditempat yang sama.

"Kita tidak mahu pelaksanaan SAM bercanggahan dengan pasar tani kerana produk atau barangan yang dibawa menerusi SAM tidak sebanyak pasar tani iaitu ia memfokuskan kepada barangan kegunaan harian yang diusahakan oleh usahawan agro Selangor," katanya ketika ditemui ketika meninjau pembukaan pasar tani Stadium Shah Alam hari ini.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri bersama penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam proses kajian akhir bagi menghasilkan makanan ternakan menggunakan bahan-bahan tempatan seperti jerami, dalam usaha pihaknya menawarkan bekalan makanan ternakan yang lebih murah kepada penternak.

Jelasnya, kebanyakan makanan ternakan ruminan (lembu, kambing, lembu susu) sekarang adalah diimport dari luar.

"Kita akan cuba siapkan secepat mungkin dan insyaAllah ia akan dikomersialkan suku pertama tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 3:04 PM