Norzamira Che Noh

Shah Alam: Petugas yang akan terbabit dalam aktiviti sembelihan korban sempena Hari Raya Aidiladha di Selangor tahun ini akan diberikan keutamaan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, individu yang ingin menjadi petugas perlu sekurang-kurangnya mendapatkan dos pertama vaksin.

"Kita sudah minta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menghubungi semua masjid yang terbabit bagi mendapatkan senarai petugas yang belum divaksin.

"Saya juga sudah maklumkan perkara ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan serta Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud mengenai perkara ini yang mana petugas akan diberikan keutamaan untuk mendapatkan vaksin.

"Tujuan kita menetapkan syarat (vaksin) adalah untuk memastikan tiada penularan Covid-19 di lokasi pelaksanaan ibadah korban tahun ini" katanya pada sidang media Program Sumbangan Korban Negeri Selangor (PSKNS) 2021 di Bangunan SUK, hari ini.

IR Izham pada sidang media Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2021 hari ini. FOTO Faiz Anuar.
IR Izham pada sidang media Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2021 hari ini. FOTO Faiz Anuar.

Dalam pada itu, Izham berkata, sebanyak RM5.05 juta hasil sumbangan sembilan anak syarikat kerajaan negeri disalurkan kepada program terbabit.

Katanya, sebanyak 670 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing akan diagihkan antaranya kepada Ahli Parlimen, penyelaras Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), penyelaras Adun untuk diedarkan kepada masjid di kawasan masing-masing.

Ketika ditanya mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) pelaksanaan korban, beliau berkata, ia akan diumumkan oleh JAIS dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan berhubung Lumpy Skin Disease (LSD) di Selangor, Izham berkata, penyakit itu kini dikategorikan sebagai terkawal yang kali terakhir kes itu direkodkan adalah Gombak awal Jun lalu.

"Penyakit LSD kini terkawal selepas kerajaan Persekutuan menyekat import (lembu) daripada Thailand," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 5:07 PM