Laporan Harian Metro sebelum ini
Laporan Harian Metro sebelum ini
Hazri A Bakar

Johor Bahru: Tiga pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang direman lima hari sejak 19 Januari lalu dibebaskan dengan jaminan, Sabtu lalu.

Ketiga-tiga pegawai yang berusia antara 40 hingga 45 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 18 Januari selepas hadir untuk membantu siasatan berkaitan kemasukan daging beku tidak dibenarkan ke negara ini.

Sumber berkata, jaminan SPRM diberikan kepada ketiga-tiga pegawai MAQIS berkenaan dengan syarat melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Johor sementara menunggu kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Harian Metro pada 20 Januari lalu melaporkan tiga pegawai berkenaan direman selepas disyaki menerima sogokan sekurang-kurangnya RM200,000 bagi melepaskan kontena muatan daging beku import daripada pembekal tidak diiktiraf pada 2017.

Sogokan itu membabitkan sekurang-kurangnya 100 kontena dengan muatan daging sejuk beku daripada pengeksport dari India yang tidak diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Laporan itu turut menyebut, pegawai MAQIS berkenaan disyaki bersekongkol dengan ejen penghantaran bagi melepaskan barangan yang diimport walaupun mengetahui pembekal daripada syarikat yang tidak pernah dibenarkan memasuki negara ini.

Berita berkaitan

Tiga pegawai Maqis direman isu kartel daging [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 12:41 PM