Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seorang ejen penghantaran direman lima hari bermula hari ini sehingga 16 Januari, kerana disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah berhubung isu skandal kartel daging yang menggemparkan tanah air sejak Disember lalu.

Perintah reman itu dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Nur Fathiah Mohd Fedzier, selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.

Suspek yang juga lelaki berusia 55 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira 8 malam tadi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Semalam, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan itu.

Khamis lalu, dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor dilaporkan direman lima hari hingga, semalam.

SEORANG ejen penghantaran direman lima hari bermula hari ini sehingga 16 Januari ini kerana disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah berhubung isu skandal kartel daging. FOTO ZAIN AHMED
SEORANG ejen penghantaran direman lima hari bermula hari ini sehingga 16 Januari ini kerana disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah berhubung isu skandal kartel daging. FOTO ZAIN AHMED

Kedua-dua pegawai MAQIS yang berusia 27 dan 31 tahun itu dilaporkan direman mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 bagi siasatan lanjut.

Menurut sumber, dua pegawai MAQIS berkenaan sudah dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan SPRM, semalam.

Isnin minggu lalu, seorang pengarah dan tiga pekerja sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku, di sini, dilaporkan turut direman empat hari, yang berakhir Khamis lalu.

Kesemua mereka yang direman itu berusia antara 39 hingga 50 tahun.

Empat direman berkenaan membabitkan pengarah, pengarah operasi, kerani syarikat sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku terbabit serta seorang lagi pengarah syarikat lain.

Bagaimanapun, kesemua empat yang direman Isnin lalu itu dilepaskan dengan jaminan SPRM Johor, Khamis lalu.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kartel daging import yang dipercayai membawa masuk daging yang diragui status halal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 12:43 PM