LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Hazri A Bakar


Johor Bahru: Kerajaan digesa memaklumkan kepada rakyat langkah segera yang diambil terhadap isu pembongkaran penyeludupan daging sejuk beku di negara ini bagi meredakan kegusaran masyarakat.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor dalam kenyataannya berkata, tindakan yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu disokong tanpa mengira pangkat dan jawatan dalam menyelongkar isu ketirisan atau rasuah dalam kalangan agensi penguatkuasa.

Menurut Pemangku Yang Dipertuanya Muhammad Farhan Basheer Ahmad berkata, laporan Harian Metro pada Rabu lalu membuka mata banyak pihak bahawa wujudnya ketirisan terhadap pelaksanaan amanah yang diberikan bagi mengekang aktiviti pengimportan daging sejuk beku ke negara ini.

Harian Metro melalui laporan muka depan Rabu lalu mendedahkan sekurang-kurangnya 100 kontena sarat dengan daging sejuk beku disyaki lolos ke negara ini dengan sogokan sekurang-kurangnya RM200,000 dari pembekal tidak diiktiraf sejak 2017.

Tiga pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) masing-masing berusia 40, 44 dan 55 tahun turut direman SPRM, Selasa lalu bagi membantu siasatan.

"SPRM juga perlu dibenarkan untuk menjalankan siasatan terperinci termasuk terhadap mana-mana pegawai kerana jika ia berlaku sejak 2017, adalah agak mustahil jika kegiatan ini tidak pernah dihidu atau dikesan.

"Jika wujud kegagalan ini, kerajaan perlu ambil tindakan tatatertib terhadap pegawai-pegawai kanan ini atas dasar akauntabiliti," katanya.

Beliau turut mempersoalkan lanjutan tangkapan dilakukan SPRM ini sama ada kerajaan terutama kementerian terbabit sudah mengarahkan produk yang dibawa masuk secara haram sudah ditarik balik dari pasaran.

Menurutnya, kementerian terbabit tidak boleh lagi berdiam diri sebaliknya memaklumkan kepada rakyat apakah langkah yang sudah dan akan dilaksanakan termasuk status daging sejuk beku yang sudah berada di pasaran tempatan.

"Di pihak kerajaan, ia perlu merombak semula sistem yang digunakan pintu masuk dagangan bagi memastikan ruang atau peluang berlaku rasuah dapat dikekang termasuk menilai semula kuasa serta prosedur operasi standard (SOP) yang digunapakai.

"Jika terdapat sebarang kelemahan termasuk terlalu banyak agensi hingga berlaku pertindihan, ini akan membuka ruang kepada pengimport untuk mengambil jalan mudah dengan melakukan sogokan kepada pegawai penguatkuasa yang diberi amanah untuk memberi kelulusan," katanya.

Beliau berkata, selain mengkaji SOP, kerajaan juga perlu melihat keperluan untuk mewujudkan makmal hadapan bagi memeriksa daging yang dibawa masuk oleh pengimport berbanding pemeriksaan dokumen sahaja.

Berita berkaitan

  • Bolos 100 kontena
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 3:29 PM