ANTARA individu yang dicari polis. FOTO Juwan Riduan
ANTARA individu yang dicari polis. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mencari 12 individu bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah komersial yang berlaku di negeri ini.

Semua individu berusia 29 hingga 64 tahun itu dipercayai terbabit dalam 10 kes penipuan dan dua kes jenayah pecah amanah jenayah (CBT) sejak empat tahun lalu.

Mereka iaitu Johnny Jasman, 40, Zamri Ramli, 35, Azlanshah Hassan Tan, 29, David Yiung Shii Kiong, 50, Adward Saatah, 47, Dihata Mohd Desa, 51, EU Chai Huat, 64.

Selain itu, turut dicari iaitu Wong Shu Shan, 51, Wong Cheng Chun @ Jason, 26, Mohd Khalyfa Yunus, 33, Donny Paul Ating, 43, Timotius Achang Ating, 33.

Ketua JSJK IPK Sabah Superintendan G Moses Govindarajoo berkata, semua kes berkenaan berlaku sekitar 2016, 2018 dan 2020.

Katanya, ia membabitkan penipuan tuntutan invois palsu, jual beli telefon bimbit, jual beli rumah, projek tidak wujud, jual beli pelitup muka, pelaburan dan jual beli tanah serta CBT.

"Kes jenayah komersial ini membabitkan kerugian sebanyak RM695,000 dan RM243,000 manakala tipu jual beli tanah pula sebanyak RM337,000.

"Ada juga yang mengalami kerugian kecil iaitu sebanyak RM400 membabitkan jual beli pelitup muka," katanya pada sidang media di IPK Sabah, di sini, hari ini.

Katanya, semua 12 individu ini diperlukan bagi membantu siasatan kes terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat juga boleh tampil menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 5:12 PM