MOHAMAD Fuzi (dua,kanan) diberi penerangan oleh Pengarah Urusan Ezuma Resources, Shahran Hasbullah (tiga kanan) ketika melawat pameran Policetech. FOTO Luqman Hakim Zubir.
MOHAMAD Fuzi (dua,kanan) diberi penerangan oleh Pengarah Urusan Ezuma Resources, Shahran Hasbullah (tiga kanan) ketika melawat pameran Policetech. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS akan memanggil beberapa individu susulan laporan dibuat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mendakwa ditipu dalam urusan jual beli saham syarikat Indonesia, Eagle High Plantations TPK (EHP).

Menerusi laporan dibuat, Felda mendakwa membeli saham melebihi harga pasaran sebenar iaitu pada 505 juta dolar Amerika Syarikat (AS) atau bersamaan RM2.3 bilion.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sudah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk menjalankan siasatan segera berpandukan laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kelmarin.

“Memang kita ada menerima laporan berkenaan dan kertas siasatan sudah pun dibuka oleh JSJK Bukit Aman.

“Malah, polis akan memanggil beberapa individu terbabit dalam urusan jual beli berkenaan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran APAC PoliceTech di Putrajaya hari ini.

Kelmarin Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar membuat laporan di IPD Dang Wangi terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana mengarahkan Felda membuat transaksi pembayaran jual beli saham melalui syarikat tujuan khas (SPV) FIC Properties Sdn Bhd (FPSB) dengan PT Rajawali Corpora pada tahun 2016.

Laporan itu menyebut bahawa Felda dipaksa membeli syarikat itu pada harga melebihi 300 peratus daripada nilai pasaran ketika itu.

Susulan pembelian itu, Felda menanggung kerugian berikutan membayar RM2.3 bilion bagi syarikat yang kini hanya bernilai RM555 juta setakat Mac lalu.

Sementara itu Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor ketika dihubungi mengesahkan laporan polis terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 1:55 PM