GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi

Seremban: Modus operandi menyamar sebagai rakan untuk meminjam wang dan penipuan jual beli dalam talian di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan ketara pada 2021 berbanding 2020.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, 2,739 kes jenayah komersial di negeri berkenaan disiasat tahun lalu iaitu peningkatan 34 peratus berbanding 2,040 kes pada 2020.

"Dua kes menunjukkan peningkatan ketara iaitu kes penipuan menyamar sebagai kenalan bagi meminjam wang iaitu sebanyak 122 kes pada 2021 berbanding 15 kes pada 2020.

"Ia diikuti kes penipuan jual beli dalam talian yang menunjukkan peningkatan daripada 503 kes pada 2020 ke 1,058 kes pada 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jumlah kerugian bagi 2021 berjumlah RM43,097,703 berbanding RM96,857,853 pada 2020.

"Kes penipuan pelaburan mencatatkan jumlah kerugian tertinggi pada 2021 iaitu sebanyak RM48.49 juta diikuti kes belian dalam talian sebanyak RM5.16 juta dan Macau Scam berjumlah RM4.09 juta," katanya.

Mohamad berkata, 1,265 individu ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan jenayah komersial bagi tahun 2021, berbanding 1,223 suspek pada 2020.

Ulas beliau, Polis Kontinjen Negeri Sembilan Khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) memandang serius peningkatan kes yang berlaku di musim pandemik Covid-19 ini terutama bagi kes yang membabitkan penipuan atas talian.

"Kami menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap kes penipuan atau scam dan dinasihatkan supaya sentiasa berkongsi maklumat atau panggilan yang diterima dengan ahli keluarga, rakan mahupun pihak polis sendiri bagi mendapat nasihat sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 5:20 PM