GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nuraliawati Sabri


Melaka: Bukan sahaja tidak kesampaian memandu Toyota Alphard, malah seorang jurutera kerugian hampir RM30,000 selepas dipercayai ditipu dalam urusan jual beli kenderaan dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa iaitu lelaki berusia 38 tahun hanya menyedari dirinya ditipu selepas membuat bayaran berjumlah RM29,700.

Beliau berkata, mangsa yang melayari laman Facebook pada 9 Mac lalu tertarik dengan penjualan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berharga RM60,000 dari Singapura dan berminat membelinya.

"Suspek mengarahkan mangsa untuk membuat bayaran deposit 10 peratus, insurans dan cukai jalan.

"Sepanjang tempoh itu sehingga 17 Mac (Rabu minggu lalu) mangsa membuat pembayaran secara berperingkat ke lima akaun bank berlainan," katanya.

Beliau berkata, selepas jumlah itu dibayar suspek masih meminta wang daripada mangsa, namun dia tidak berbuat demikian kerana mengesyaki dirinya sudah ditipu.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis dan sehingga kini dia masih belum menerima kenderaan yang ditawarkan itu.

"Semakan mendapati terdapat tiga laporan polis ke atas nombor akaun bankdi gunakan suspek yang turut menggunakan modus operandi sama," katanya.

Mengulas lanjut, Sundra Rajan berkata, terdapat 69 kes diterima Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sejak 2019 membabitkan kes tipu penjualan kereta dalam talian membabitkan nilai keseluruhan RM495, 104.20 .

"Tahun lalu merekodkan kes tertinggi dengan 32 kes dan 21 kes pada 2019 manakala untuk tahun ini sehingga kini 16.

"Saya menasihatkan masyarakat supaya berhati-hati dengan sebarang tawaran atas talian dan membuat semakan terlebih dahulu keatas nombor telefon atau akaun bank yang meragukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 6:39 PM