GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Serdang: Polis menumpaskan Geng Ah Boon yang terbabit kes samun warga asing selepas tiga ahli kumpulan itu ditahan, malam tadi.

Penahanan suspek dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru Dengkil, Selangor.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, polis menyerbu rumah berkenaan pada 10 malam dan menahan tiga lelaki berusia 27 hingga 43 tahun.

"Suspek dipercayai terbabit dengan satu kes samun di tapak pembinaan berhampiran LRT Bandar Puteri, Puchong membabitkan mangsa seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja di tapak binaan itu.

"Polis merampas lima pisau, sebilah parang, lima telefon bimbit, pakaian semasa melakukan jenayah samun dan kereta Perodua Myvi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Razali berkata, selepas disoal siasat suspek mengaku terbabit jenayah itu dan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pecah rumah dan dadah.

Beliau berkata, semua suspek direman lima hari bermula hari ini sehingga 24 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 9:48 PM